sudah lama.

pic

sudah lama rasanya,

tidak merasai kenikmatan ibadah.

bangun dengan penuh semangat,

bagai ada yang sedang membisik,

‘Tuhanmu sedang memanggilmu..’

sudah lama rasanya,

hati tak diketuk tangis,

gersang menanti belai,

dan saat itu,

kalimah Tauhid menyentak jiwa.

‘kau kan punya Tuhanmu, adukan saja tangismu pada-Nya.’

sudah lama rasanya,

hati tersiksa,

jiwa merana,

kerana nafsu yang diturutkan,

jiwa diperhambakan,

masihkan ada peluang untuk menyucikan hati?

‘Dia Maha Penerima Taubat, lagi Maha Pengampun Dosa’

untuk kesekian kali,

jiwa hamba memohon sesungguhnya,

jangan ditinggalkan diri ini,

walau sesaat kerdipan mata,

sungguh tidak mampu,

memandu hati,

jika tanpa-Mu dan sendiri.

“Ya Allah, hati ini Kau yang membolak-balikkannya, tetapkanlah ia, pandulah ia, pimpinlah ia, dalam satu cinta yang selamanya akanku cari…

gersang.

gersang.

manakan sama antara yang dipaut dengan yang tidak.

hidup.

manakan bebas jika ia dilepas percuma.

berjalan.

manakan sama jika tapaknya mengundur ke belakang.

berlari.

manakan sampai jika hala tujunya tak pasti.

dinanti.

rantingnya bercabang, belum pasti buahnya rendang.

tunggu ditunggu,

esok lusa mungkin kemarau bertandang.

tinggal siap menerima berita.

antara yang hebat.

Masa : Di suatu Pagi yang hening.

Lokasi : Taska Mawaddah

“siapa tahu makhluk apa yang paling hebat di muka bumi nie?” kak wardah melantunkan lembut suaranya sambil menguntum senyum.

“saya! Superman kak!” teriak seorang kanak-kanak lelaki.

“eh! Salahlah, Power Rangers!” bantah pula rakannya Munzir.

Bangun pula gadis kecil bertocang kiri dan kanan, “taklah, mestilah sailormoon. Boleh sampai ke bulan tue…”

Hampir terhambur tawa wardah. Namun dia kekal tenang dalam posisinya sambil memerhatikan gelagat anak-anak kecil di hadapannya.

“teeet, masa dah tamat. Semua jawapan yang adik-adik bagi salah, nak dengar cerite tak? nanti akak bagi jawapannya.” tawar wardah sambil menguis-nguis membetulkan lipatan kainnya.

“Nak!!!” serentak suara kecil beralun. Ruangan kecil berlatar hijau pucuk pisang itu bergema seketika. Wardah bangun mengambil glob bumi yang terletak di atas meja sudut kiri Faslul awwal.

“Ok ok, duduk-duduk ye…”

Sambil memutarkan glob bumi itu, wardah memulakan cerita.

“Nabi kita Nabi Muhammad dahulu ada menceritakan tentang kejadian bumi. Dulu, Bumi yang kita pijak sekarang nie, tanah-tanahnya macam cecair, tak stabil, nak pijak pun tak boleh…lalu…”

“abes kak, macam mana nak berdiri tue kak?” Fadhil mengerutkan dahinya.

“ala fadhil nie, kacau la. Tunggula kak wardah citer dulu…” safuan menepuk dahinya. Mungkin geram barangkali…

“dah, dah, akak sambung ye.” Wardah mengusap-usap rambut fadhil yang ikal.

“lalu, Allah, Tuhan kita Yang Maha Hebat menciptakan gunung-ganang sebagai pasak kepada bumi. Maksudnya, sebagai tiang ataupun sebgai paku untuk mengukuhkan daratan bumi. Jadi, Dapatlah kita berpijak dan berdiri atas daratan bumi nie… subhanallah… qolaa?” wardah sengaja memanjangkan lantunan suaranya…

“Alhamdulillah…” kanak-kanak kecil yang riang itu menjawab serentak. Memang seperti kebiasaannya, wardah mengajar mereka untuk memuji Allah dengan kalimah-kalimah yang Mulia. Selepas menutur lafaz Subhanallah, disertakan dengan Lafaz Tahmid, Alhamdulillah.

“pandai adik-adik akak. Mesti Allah sayang…” wardah menguntum senyum. Cerita mula disambung.

“kemudian, Malaikat bertanya kepada Allah. ‘Wahai Tuhanku, selain daripada gunung batu yang kuat dan kukuh itu, adakah lagi makhluk-Mu yang lebih kukuh dan kuat dari gunung-ganang itu?’. Lalu, Allah pun memberitahu Malaikat bahawa selain batu iaitu GUNUNG-GANANG, ada lagi yang lebih kuat iaitu BESI.” Wardah berhenti seketika menarik nafas.

“tapi kan kak, gunung kan lagi besar dari besi. Kenapa Besi boleh jadi lagi kuat dari gunung?” Fadhil bertanya lagi. Tinggi benar sifat ingin tahu yang ada dalam dirinya.

“sebab, Besi, sifatnya sangat keras. Manusia pun boleh membuat jentera besar daripada besi yang boleh meruntuhkan gunung-ganang yang besar tue.” Wardah menjawab dengan tenang. Satu persatu muka pelajar ciliknya itu ditenung.

“nak akak sambung cerita tak?” Wardah provokasi bertanya.

“mestilah nak!”

“kemudian, Malaikat bertanya lagi kepada Allah makhluk apakah yang lebih kuat daripada besi?. Dan Allah memberitahu Malaikat bahawa API lebih kuat daripada besi kerana api boleh meleburkan besi. Lalu besi akan menjadi cair bila terkena api.”

“waah, jadi api lah yang paling kuat dan hebat ye kak?.” Iman bertanya sambil menguakkan tangannya keatas menunjukkan tanda hebatnya api.

“tak sayang. Ada lagi makhluk Allah yang lebih hebat selain api. Siapa tahu, apa yang boleh memadamkan api?” wardah sekali lagi menguji ketangkasan minda kanak-kanak cilik itu.

“Air! Betulkan kak? Air yang paling kuat ye kak?” Rasya mengangkat tangan laju.

Wardah mengangguk lembut. Lalu menyambung ceritanya. “betul tu, AIR boleh memadamkan api, jadi air lebih kuat daripada api. Tapi, api bukanlah makhluk yang paling hebat, sebab ada lagi yang lebih hebat tau.”

“siapa kak? Apa kak?” masing-masing menggaru kepala, ada juga yang tidak berkedip matanya memandang ke arah wardah.

“ha, akak sambung ye. Malaikat pun bertanya lagi kepada Allah, adakah masih ada Makhluk lain yang lebih hebat dari air. Lalu, Allah memberitahu Malaikat bahawa ANGIN lebih hebat dari air kerana angin apabila dikumpulkan menjadi taufan, boleh menggelorakan air di laut, boleh membanjiri daratan dan memusnahkan apa sahaja yang ada di permukaan bumi.” Wardah memberhentikan percakapannya seketika. Terasa kering tekaknya, namun itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus bercerita.

“huish! Hebat, hebat, hebat. Jadi, angin lah yang paling hebat ye kak?, atau ada yang paling hebat kak?” wan membulatkan matanya sambil memandang tepat ke arah wardah.

“mestilah ada, cerite akak belum habis lagi tau, ha, Malaikat pun masih tak jemu dan ingin tahu masih adakah makhluk Tuhan yang lebih hebat daripada segala kejadian yang akak sebutkan tadi. Lalu, Allah memberitahu Malaikat bahawa, Makhluk Allah yang paling hebat, yang paling kuat daripada semua makhluk tadi adalah, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap, tak menunjuk, sehinggakan tangan kirinya pun tidak tahu bila tangan kanannya menghulurkan sedekah. Maksudnya, orang yang bersekah dengan penuh keikhlasan kerana Allah semata-mata dan dia merahsiakan sedekahnya daripada pengetahuan orang lain adalah lebih hebat dari batu, besi, air, angin dan semua makhluk, kerana dia hebat dan kuat dalam merahsiakan sedekahnya daripada orang lain.”

“Ohhh, jadi, makhluk Allah yang paling hebat orang yang bersedekah dengan ikhlas lah ye kak? Waah, hebat-hebat…” Iman berkata sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“betul tue, jadi, kita kena rajin bersedekah, dengan ikhlas dan bukan sebab nak menunjuk-nunjuk ye. Sebab, kalau kita ikhlas melakukan kebaikan, inshaallah, kita akan terhindar dari melakukan kejahatan.”

“jadi, kita kena rajin sedekahlah kan kawan-kawan? Mulai hari nie, kita kena rajin sedekah. Sedekah senyuman!” Fadhil bersuara lantang dan ceria.

Terhambur tawa dan gelak kami semua. Fadhil memang bijak dan ceria dalam berkata-kata. Kanak-kanak lain juga. Wardah sedar, peringkat kanak-kanak adalah permulaan perjalanan kehidupan seorang Insan. Jika baik yang dicorakkan, Inshaallah baiklah akhlaknya kelak, jika buruk yang didedahkan, takut terlambat untuk mengubahnya jika sudah dewasa.

“Sarapan pagi siap! Bubur kacang-bubur kacang. Mari beratur!” panggil makcik zubaidah memanggil kanak-kanak ke ruangan dapur Taska Mawaddah.

Mereka pun bersurai dan terus menuju ke dapur untuk menikmati masakan makcik Zubaidah.

::::::::::::::::::::::

Sekian.

NOTA

  • faslul awwal – Kelas pertama
  • qoola – berkata

p/s : orang yang mampu merahsiakan perbuatan menderma atau bersedekah itu adalah orang yang berjaya mengawal keikhlasan hati.

*kisah ini diolah dari sumber; buku Taqwa, Tuan Guru Dato’ Bik Abdul Aziz Nik Mat.

Wahana Al-Irsyad

Assalamualaikum :)

pada semester lepas, saya bersama team al-irsyad iaitu, [umairah, shuhadah, nuri dan asma'] telah menyiapkan sebuah risalah khusus buat tatapan semua pencinta Bahasa Arab dan umumnya kepada semua sahabat-sahabat yang sudi ziarah. ;)

kami telah memaparkan beberapa slot yang menggunakan bahasa Arab seperti slot belajar hadith, belajar perkataan dan perbualan dalam Bahasa Arab, kata-kata dan syair-syair, dan juga Komik didalam Bahasa Arab!.

tanpa segan silunya, kami mempersembahkan …

Al-Irsyad

muka surat pertama

klik pada gambar untuk tumbesaran :)


muka surat kedua

klik pada gambar untuk tumbesaran :)

ini adalah komik asal yang telah di Copy & Paste dari sumber yang saya dah lupa alamatnya. maaf ye ;)




Dan ini adalah terjemahan daripada komik asal dan telah di semak ‘nahu dan sorof’ nya oleh ustaz-ustaz dan ustazah.


diharap kepada semua sahabat-sahabat mendapat manfaat daripada Risalah yang telah kami paparkan. Inshaallah, setelah Al-Irsyad yang terbaru telah siap, saya akan paparkan dan kongsikan disini.

selamat belajar! :)

Sebenar-Benar Cinta

Wardah Sufi [Part 4]

***

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan ALLAH melalui kehidupan Rasul-NYA.

Pagi itu, walaupun Langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap…

Pagi itu… Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah…

“Wahai Umatku .. kita semua ada dalam kekuasaan ALLAH dan cinta kasih-NYA. Maka taati dan bertaqwalah kepada-NYA. Ku wariskan dua perkara pada kalian, AL-Quran dan Sunnahku. Barangsiapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintai aku, dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku…”

Khutbah singkat itu di akhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap seluruh sahabatnya satu persatu. Seramai 124 ribu orang sahabat yang sama bilangannya dengan bilangan Nabi dan Rasul telah berjaya dikumpulkan dengan izin ALLAH pada Hajjatul Wada’.

“Allah sudah menawarkan kepada seorang hamba-NYA bagi memilih hidup bahagia di sisi-NYA.”

Abu bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca. Menangis teresak-esak hingga air mata membasahi janggutnya.

Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.

Usman menghela nafas panjang.

Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.

Isyarat itu telah datang dan saatnya sudah tiba …

“…Pada hari ini Aku sudah sempurnakan bagi Kamu agama kamu dan Aku sudah melengkapkan nikmat-KU atas kamu, dan Aku redha bagi kamu bahawa Islam itu agamamu…” AL-Maidah : 3

“Rasulullah akan pergi meninggalkan kita semua…”

Keluh hati semua sahabat kala itu…

Manusia yang tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia…

“Ada seorang hamba yang diberi dua pilihan oleh ALLAH, apakah dia mahu dikurniakan perhiasan dunia menurut kemahuannya, ataupun ingin mendapatkan apa yang ada di sisi ALLAH. Dia memilih apa yang ada di sisi ALLAH…”

Abu Bakar menangis apabila mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W itu lalu berkata.

“Wahai Rasulullah, kami sanggup menebus tuan dengan ayah dan ibu kami.”

Tanda-tanda itu semakin kuat…

Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu…

Matahari kian meninggi, tetapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-Tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

“Bolehkah saya masuk?” tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk.

“Maaflah, ayahku sedang demam.” Kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup daun pintu.

Kemudian Fatimah kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Fatimah.

“siapakah itu wahai anakku?”

“tak tahulah wahai ayahku, orang sepertinya itu baru sekali ini anakanda melihatnya.” Tutur Fatimah lembut.

Lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah Malakul Maut.” Kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap diatas langit dunia untuk menyambut ruh kekasih ALLAH dan Penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan ALLAH?” tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu.” Kata Jibril.

Tetapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.

“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan Khawatir wahai Rasul ALLAH. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku : “kuharamkan syurga bagi siapa sahaja kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya.” Kata Jibril.

Detik-Detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas.

Perlahan Ruh Rasulullah ditarik. Kelihatan seluruh tubuh Rasululah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

“Jibril, betapa sakitnya Sakaratul Maut ini.” Perlahan Rasulullah Mengaduh.

Fatimah memejamkan mata, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam, dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau memalingkan wajahmu Jibril?” tanya rasulullah kepada Malaikat pengantar wahyu itu.

“siapakah yang sanggup, melihat Kekasih ALLAH direnggut ajal.” Kata Jibril.

Sebentar kemudian kedengaran Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya ALLAH, Dahsyatnya nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu.

Ali segera mendekatkan telinganya.

“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum.”

[Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.]

Di luar pintu tangis mulai kedengaran bersahutan. Sahabat saling berpelukan.

Fatimah menutupkan tangan di wajahnya. Dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummati … Ummati … Ummati …”

Dan Berakhirlah kehidupan manusia mulia yang memberi sinaran itu.

“Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa Barik wa sallim alaih.”

***

Wardah menarik nafasnya dalam-dalam. Kerna tahu, perjuangan Rasulullah perlu diteruskan. Perjuangan yang  Masih berbaki.

Air matanya di seka.

‘aku merinduimu wahai Kekasih ALLAH…’

***

“Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, maka ALLAH akan berselawat kepada nya sebanyak Sepuluh kali” Hadith Soheh – Bukhari.

Bersambung…

Wardah Sufi [Part 3]

“kakak, umi nak tanye ni. Kakak jawab jujur ye.” Lembut kedengaran suara ibu marjan di talian telefon.

“ye umi, Inshaallah akak jujur, kenape umi? Serius je nie?. hehe” Marjan membalas pertanyaan ibunya dengan penuh sopan.

“kakak ade duit lagi? Abi tak dapat nak hantar duit belanja bulan ni. Abi masih belum dapat kerja lagi.

Hati marjan cuba berlaku tenang. Menarik nafas sedalam-dalamnya. Ada rasa sebak menyelubungi ruang hatinya, lantas diseka air mata yang turun bercucuran. Dia faham benar dengan masalah yang dialami abinya. Abinya telah dikhianati kawan sekerja dan telah dituduh menggunakan duit syarikat secara rahsia. Siasatan demi siasatan dilakukan, dan Abi tetap dipecat, kerana dituduh bersubahat.

Marjan teringat pada Rasulullah S.A.W, ketika mana kerja menggali Khandak (Parit) dijalankan, Rasulullah dalam keadaan Lapar sehingga baginda meletakkan batu pada perut baginda untuk menahan rasa lapar yang dialaminya itu. Lalu datang Sahabatnya bertanyakan tentang bunyi yang didengari dari bahagian badan Baginda. Lalu baginda menjawab, “sesungguhnya aku sedang menahan lapar.” Tahulah sahabat baginda tersebut tentang apa yang di alami baginda.

‘Ya ALLAH, itu Rasul MU, sedangkan aku ni insan biasa yang hanya sehari tak dapat makan pun takkan lah nak mengeluh.’ Istighfar marjan di dalam hati.

“oh ye umi, kakak ade tolong kawan-kawan jual naskhah Al-Quran kat sini, inshaallah, duit yang ade cukup sampai kakak habis semester.” Marjan bersuara.

“Alhamdulillah. Umi mintak maaf ye kakak, inshaallah, umi sentiasa doakan kakak dari jauh. Kakak jage diri, jage solat ye. Belajar rajin-rajin…”

“Baik umi, inshaallah, sokongan dan doa umi lebih berharga tau dari sebutir nasi.”

Serentak mereka tertawa. Sambil mengujar salam, Talian dihentikan.

***

“Kak Mar dah makan?” Sambil membuka polistrin makanan, wardah mempelawa marjan untuk makan bersama.

“akak puasa hari ni, inshaallah.” marjan mengambil tempat di meja study. Mahu menyiapkan minit mesyuarat untuk perjumpaan akhowat malam ni.

“eh, kak mar kan dah seminggu puasa. Puasa ape lagi kak?” air muka wardah bagai ligat berfikir. Mungkin mengira bilangan hari marjan berpuasa!

“haah, takpela, kan kita berpuasa ramadhan pun tiga puluh hari? Tak pe kan kalau akak nak cukupkan puasa sebulan bulan nie?” manis senyuman marjan. Langsung tiada kerut didahinya. Resah di hati hilang, saat dia sentiasa menyedari ada ALLAH di sisi.

“kak mar nie, wardah serius tau, kak mar kalau ade masalah beritahulah wardah.” Wardah menarik muka. Masam.

“wardah, tak baik tau bermasam-masam muka depan rezeki. Nanti kesian nasi tu teragak-agak takut nak masuk dalam perut wardah.”

Tawa mereka pecah. Marjan bijak menutur kata. Tiada satu pun perkataannya yang songsang. Tenang!

Dalam hati, wardah tahu, marjan sedang mempunyai masalah kewangan. Wardah ada meminta marjan untuk menerima duitnya walaupun sekadar pinjaman. Tetapi, dengan tawadhuk marjan menolak. Dikatakan masih ada insan yang lebih memerlukan. Hak sesama manusia perlu didahulukan!

***

“Kak Mar, Kau benar-benar mencontohi Akhlak kekasihmu, Rasulullah. Aku kagum! Sungguh!” wardah termenung di jendela. Langit petang terbentang luas. Ada sekawan burung-burung terbang, mungkin mahu pulang membawa makanan kepada kaum keluarga mereka. Langit Ilahi terlalu luas, sehingga tiada satu pun yang dapat menandingi kekuasaan ALLAH. Subhanallah!

“Ya ALLAH, sebagaimana Kau mempermudahkan Lautan untuk Nabi-MU MUSA, kau permudahkan Lautan kehidupan kami. Ya Rahim, sebagaimana Kau Menyejukkan Api yang membakar tubuh Nabi-MU IBRAHIM, Kau permudahkanlah lautan kehidupan kami ini. YA Latif, sebagaimana Kau menundukkan Angin-angin, Syaitan-syaitan dan Jin-Jin terhadap Nabi-MU SULAIMAN. Kau permudahkanlah Lautan kehidupan kami yang penuh dengan Dugaan Dunia, agar kami sentiasa merindukan Syurga-MU YA ALLAH.” Amin.

Wardah berdoa sepenuh harapan. Minta dipermudahkan segala urusan kerana dia pasti, SYURGA ALLAH yang sepenuhnya di harapkan!

***

Bersambung…

[part 1]

[Part 2]

Masih Ramai

Ramai Yang Masih bernafas
diberikan kehidupan
diberikan pendengaran
diberikan penglihatan
diberikan segala deria

dan ramai juga yang sudah ditamatkan waktunya
amalannya terhenti kecuali tiga
ilmu yang bermanfaat
sedekah jariah
doa anak yang soleh

soalnya

bersediakah kita untuk menghadapi masa itu.?

Wardah Sufi [Part 2]

“ Every night and every day, never forget to say La ilaha Illallah…”

Ringtone Maher Zain bergema di ruangan kamar Wardah. Ada pesanan masuk. Tangannya ligat menekan-nekan kekunci nokia 6680.

Iman ~

Salam wardah sayang, iman dan ain nak ajak ifthor sekali malam ni, lepas tu kita jemaah dan terus pegi taa’lim. Ok? Kalau ada musykilah bagitahu ye. Kalau jadi, nanti iman fetch up wardah kat mahallah around 6.30ptg. ok?

Bibir wardah mengukir senyum. Ada tenang dihatinya. Ada bahagia yang bertandang. Tarbiyyah benar-benar membawa seseorang kepada kebahagiaan. Kepada ketenangan. Tarbiyyah juga telah menemukannya dengan akhowat-akhowat yang solehah, yang mampu membimbingnya, dan saling mengingatkan. Kalau dulu, dia tenggelam dalam arus kejahilan, langsung tiada ketenangan, kalau ada Cuma sekejap. Arwah kak Marjan yang menemukannya dengan Jalan ketenangan ini, jalan yang tidak perlu dibeli dengan wang ringgit. Yang perlu hanya kesungguhan dan istiqamah. Dengan izin ALLAH.

****

“kak Mar, kenapa kita perlu ada tarbiyyah? Tak cukup kah dengan pendidikan akademi je? Itu juga kan ilmu?” suara wardah memecah keheningan malam. Ada bunyi serangga di sebalik jendela. Suasana sepi, tetapi tidak sunyi.

“wardah, boleh tolong akak ambilkan cawan?”

Cawan dihulurkan, kosong tanpa air.

“kenapa dengan cawan kak? Akak nak minum ke? Wardah boleh tuangkan air.” Wardah bertanya kehairanan.

Marjan menggeleng. Suaranya dilunakkan.

“wardah, apa isi cawan?”

“air kan kak?”

“ye, itupun kalau dituangkan air. Kalau tidak isi dengan air?”

“berhabuklah kak. Ataupun cicak buang air besar nanti” ada tawa di hujung percakapan wardah.

Suasana senyap sebentar. Marjan menarik nafas sedalam-dalamnya. Wardah masih menanti jawapan dengan seribu persoalan.

“begitu juga dengan hati kita wardah. Kalau tidak diisi dengan tarbiyyah, ilmu agama, pasti ada benda lain yang mengambil tempat dalam hati kita. Wardah nak hati kita jadi tempat simpanan najis seperti apa yang cicak buat dengan cawan kosong?”

Gelengan kepada wardah cukup membuatkan dia faham.

“tarbiyyah bukan sekadar mengenal alif baa taa, tetapi mengenal islam secara keseluruhannya. Tarbiyyah juga datang dalam bentuk ilmu dan disalurkan dalam bentuk amal.”

Bahasa marjan mungkin tinggi bagi wardah. Kening wardah sedikit terangkat. Dahinya mula berkerut. Lalu suaranya sedikit demi sedikit dilontarkan.

“tapi kak … … macam mana kita nak dapat tarbiyyah…?”

Marjan tersenyum. Ada sinar pada wajahnya yang cerah. Lesung pipitnya jelas Nampak terbenam di pipinya.

“kalau nak tahu, esok ikut akak pergi majlis yang tiada tolak bandingnya di muka bumi ini!”

Marjan mengalunkan suaranya biar Nampak menarik. Sambil berdiri, marjan bagaikan mahu berpidato.

Wardah tergelak kecil. Terangguk-angguk kepalanya mahu mengikut marjan keesokan harinya.

Dari hari itulah titik permulaan wardah bertemankan tarbiyyah dan dakwah. Barulah dia menyedari bahawa majlis yang selama ini menjadi kecintaan para mu’minin adalah majlis ilmu. Taman-taman syurga. Wardah mula tsabat dengan tarbiyyah bersama marjan yang senantiasa menjadi pembimbing. Sehingga dia pulang pergi bertemu Penciptanya.

****

Air mata wardah diseka perlahan. Berselang selikan senyuman sambil melontarkan pandangan pada bukit yang berbalam-balam. Ada ketenangan dihatinya. Rindunya pada arwah kak marjan tidak pernah surut walaupun hampir setahun arwah pergi meninggalkannya. Ingatannya tidak pernah putus beralun doa. Wardah amat terhutang budi pada Marjan. Kakak yang amat dia kasihi.

Wardah yang asyik mengimbau memorinya sehingga terlupa ada yang menanti jawapan darinya.

Iman calling … … …

“assalamualaikum cik wardah.” Suara iman memecah corong telefon.

“waa’laikumussalam iman, maafkan wardah terlambat balas mesej. Inshaallah wardah pergi. tapi iman fetch up wardah ye? Nanti wardah tolong-tolong salur duit minyak” tutur wardah satu persatu.

“baik cik wardah sayang. Nanti iman jemput ye.. jumpe petang nanti inshaallah. assalamualaikum”

“inshaallah. Waalaikumussalam.”

Talian dihentikan. Senyuman masih terukir di bibir wardah. Dalam hatinya mengujar syukur. Memohon ketenangan hati yang berterusan. Memohon kebahagiaan hati yang berpanjangan.

****

Laungan Allahu Akbar kedengaran hampir ke seluruh bangunan-bangunan di UIA. Doa dituturkan tanda syukur, kurma dijamah dahulu kerana mengikut sunnah Nabi S.A.W.

“dah lama tak jumpa ain. Rindu rasanya. Maklumlah semenjak dah jadi perwakilan MPP ni. Mesti ada banyak tugas nak dilakukan kan ain?.” Ujar wardah menyusun kata-katanya.

Rindunya pada sahabat-sahabatnya tidak terkira. Maklumlah, masing-masing ada tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Biar sekali sekala bertemu melepaskan rindu. Bertemu tidak jemu, berpisah tidak gelisah.

“ haah wardah. Banyak tugas yang nak dilakukan. Amanah ALLAH, inshaallah ain akan cuba laksanakan dengan sebaiknya. Nak contohi Umar dan para Sahabat lain dalam menjalankan tugas. Doakan Ain ye. Ain pun rindukan wardah jugak!”

Matanya sengaja dikenyitkan. Tanda gurauan. Masing-masing tersenyum melihat gelagat ain yang memang menyenangkan hati setiap yang memandangnya.

“jom kita naik atas. Bilal dah iqamah tu. Nanti kita bertanya khabar lagi ye. Perkara yang paling penting perlu didahulukan.” Lembut Iman berkata. Tiada satu pun perkataannya yang songsang.

Lalu mereka pun berlalu pergi, menyahut panggilan Hayya A’lal solah, Hayya A’lal falah. Kedamaian bertamu, ketenangan berkunjung. Mereka hanya mahu mencari Cinta didalam Cinta. Cinta PENCIPTA.

Marilah Menuju Kejayaan.

Bersambung …

p/s :

taa’lim : ceramah ilmu

musykilah : masalah

saya hanya mahu belajar menulis.

Wardah Sufi [Part 1]

 

langit dhuha tenang memancarkan sinarannya. nyaman, udara yang segar. ciptaan Tuhan Yang MAHA ESA. subhanallah.

“kak mar, wardah dah penat nak berpura-pura dengan akak! Getus wardah separuh teriak.

Marjan yang segera menoleh tergamam dan masih tenang berkata ;

kenapa ni wardah? Berpura-pura kenapa? Akak tak faham.” Lembut tuturnya. Sedikit sebanyak melunturkan kegeraman wardah seketika.

“kak mar, macam ni la, mulai hari ni, akak tak payahla nak ambil tau pasal wardah, wardah solat ke, wardah keluar dengan siapa ke, wardah pegi mane ke, kak mar tak payah sibuk-sibuk nak Tanya lagi, wardah rimasla!”

Ade getar pada suara wardah.

Wajah marjan masih tenang. Dia faham benar gelodak perasaan anak remaja. Mungkin ada yang menggangu fikiran wardah barangkali.

“kak mar dengar tak wardah cakap ape ni?” getus wardah menunjukkan rasa tidak puas hati.

“wardah, akak dah lambat nie, ade lecture pukul 10, akak pergi dulu ye, nanti kite lunch same kat café edu ye?. Assalamualaikum”

Tiada jawapan seketika.

Bayangan jasad marjan hilang dipandangan mata wardah.

“Huh, waalaikumussalam” gumam wardah.

***

“sis, assalamualaikum. Ada orang bagi note ni kat awak.” Ujar seorang siswi sambil menghulur sekeping nota merah.

Belum sempat wardah bertanya, siswi tadi menghilang dicelah-celah bangunan kuliah.

‘siapalah pulak yang pakai fesyen lame ni, main surat-surat la plak…err, masuk ni dah tiga kali dah’ getus hatinya.

Sekeping nota dibuka. Ada getaran pada tangan wardah, juga pada hatinya. Lantas air mata jatuh menuruni anak-anak tangga pipinya.

Ada butir-butir keinsafan turun membasahi bibir wardah. Dia sendiri sedar, sudah berbulan-bulan dia tak menghadiri majlis taa’lim, sudah berminggu-minggu dia meninggalkan Halaqah akhowat. Dia sibuk, terlalu sibuk dengan tugasan kuliah, dan dengan teman-temannya. Sehinggakan tidak sedar, dia mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.

Ada getaran didalam begnya. Lalu ditekan punat answer.

“hello dear, kite lunch same ye? I tunggu u kat café econs. Datang tau, I’ll pay for it. Bye!…”

Masih terngiang-ngiang suara jejaka kelahiran Sydney itu. Dia amat selesa dengan layanan jejaka yang dikenali dengan nama khairil. Pada mulanya, dia hanya mengendahkan pelawaan khairil untuk berkawan dengannya. Tetapi setelah berjambak-jambak bunga diutus, berkotak-kotak hadiah diterima selama 6bulan, Wardah termakan pujukan khairil dan mula berkawan dengannya.

“ ok… =) ” message sent.

****

“assalamualaikum.”

Marjan menguak pintu bilik sambil mengerling kearah wardah yang sedang terbaring diatas katil sambil menekan punat-punat telefon bimbitnya.

Tiada jawapan.

“wardah dah makan? Akak ade belikan nasi untuk wardah ni. Jom kite makan same.” Ajak marjan dengan lembut.

“wardah dah makan tadi. Dah kenyang. Kenapa akak belikan wardah makanan tanpa Tanya dulu?,  apalah akak ni?” jawab wardah mendatar. Ada naga tinggi terselit di hujung percakapan.

“yeke, akak ingatkan wardah belum makan. Tadi kan akak a…”

Belum habis baris perkataan marjan, lalu telah dipotong oleh wardah yang bingkas bangun mengenakan pakaian sukannya.

“dahla, wardah nak pergi sport complex. Ade training.”

Pintu ditutup dengan kuat tanda protes. Marjan tersentak, ada lafaz istighfar dibibirnya.

‘ mungkin aku ada buat salah pada dia ’ ujar marjan didalam hati.

Hampir dua tahun marjan tinggal sebilik bersama wardah, semenjak awal tahun pertama lagi. Marjan digelar kakak kerana dia tua setahun dari usia wardah, dan dia adalah lulusan Darul Quran, maka dia terlambat satu tahun ke universiti kerana menghabiskan sesi pembelajarannya di Darul Quran. Dia tahu, terlalu awal untuk menghukum atau mengkritik wardah yang baru sahaja berjinak-jinak dalam tarbiyyah. Dia juga tahu, masa yang hanya kurang setahun belum tentu boleh melenturkan hati anak remaja dengan tarbiyyah. Dan belum tentu dapat mematangkan diri wardah. Apa yang hanya boleh dilakukan hanya terus berdoa. Kerana hidayah itu hanya milik ALLAH.

Pada mulanya, wardah seorang yang amat konsisten dengan halaqah dan taa’limnya semenjak penglibatannya 3bulan yang pertama. Beransur 4bulan yang seterusnya, wardah mula melarikan diri dari jalan tarbiyyah. Wardah hanyut dalam pencarian cintanya. Wardah tenggelam dalam kesibukannya beraktiviti. Sikap wardah mula bertukar menjadi kasar dan tidak selembut dahulu.

****

“ wardah dah solat?, jom kita pergi taa’lim ustaz Hassan. Tajuk best malam ni. Nak tau tak tajuknye ape? Mesti wardah su…..” ajak marjan bersungguh-sungguh.

wardah ada discussion kat library. Wardah balik bilik lewat malam ni.” Jawab wardah mendatar tanpa ada kerlingan pada wajah marjan.

Pintu bilik ditutup rapat tanpa ada lafaz salam.

Butir-butir air mata dipipi marjan segera diseka. Lalu hanya tangan yang menadah memohon doa.

“ya ALLAH, sesungguhnya engkau yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah hati kami didalam jalanmu Ya ALLAH. Amin”

****

Sekeping nota merah berada meja discussion nya. Pada mulanya, dia hanya mengendahkannya. Tetapi, dia mula perasan akan ada namanya pada sekeping nota itu.

‘ye, wardah sufi. Tu nama aku’

Sekali lagi, butiran jernih jatuh dipipinya. Dia sedar akan kesilapannya, tetapi entah mengapa, dia tidak tergerak hati untuk berubah. Tidak sama sekali!

****

“hati orang-orang yang saleh itu suci dan bersih, mengabaikan makhluk dan hanya akan ingat kepada ALLAH, tuhannya, melupakan dunia dan mengingat akhirat, melupakan apa yang ada pada dunia dan mengingat apa yang ada disisinya. Seorang mu’min yang berlaku jujur dan benar pada dirinya akan menasihati saudara seimannya. Dia akan menerangkan dan menegur hal-hal yang buruk, dan membetulkan dengan kebaikan. Dan jika dia dinasihati, Maka dia menerima nasihat saudara seimannya dan tidak pernah dia menentangnya, kerana ia boleh mempamerkan apa yang tidak boleh di lihatnya pada dirinya sendiri. Sabda rasulullah ;

“seorang mu’min adalah cermin bagi mu’min yang lainnya.”

Kata-kata ustaz Hassan terngiang-ngiang dicuping telinganya. Dia hafal satu-satu ayatnya, dia hadam satu-satu perkataannya.

Dalam kedinginan sepertiga malam, dia bangun menunaikan hak Tuhannya, lalu dia bermuhasabah. Merenung kekerdilan diri.

‘astaghfirullah, rupanya aku adalah cermin kepada sahabatku wardah. Aku yang bertanggungjawab keatasnya. Ya allah, bimbinglah aku. Bimbinglah aku dalam kesabaran dan ketabahan. Jika benar aku yang bersalah, hukumlah aku, tetapi, aku memohon kepadaMU, kau ampunilah dosa adikku wardah, dia hanya insan yang lemah, yang sedang belajar untuk mendekatiMU, Ya Wasi’, kurniakanlah hidayahMU kepadanya. Amin’

suara hati marjan berkata-kata. Ada sendu dihujungnya.

****

“assalamualaikum wardah, bangun solat subuh dik. Kita jemaah…” tutur marjan lembut.

“errr. Ahhh! Jangan menyibuk boleh? Wardah ngantuk nie, tidur lambat malam tadi, nak sembahyang, sembahyang jelahh!” getus wardah sambil menutupkan telinganya dengan bantal.

Tiada apa yang boleh marjan lakukan. Dia hanya meneruskan solatnya, dan berniat untuk mengejutkan wardah sekali lagi.

Sujudnya panjang…

****

Matahari pagi mula menampakkan senyumannya, ada sinar pada setiap mata yang memandangnya. Langit ILAHI luas dan indah, penuh dengan rona-rona kehidupan, ada insan yang mungkin sedang  bersedih, dan ada juga insan yang masih berteleku menunggu langit Dhuha. Dan ada juga insan yang baru memulakan nafasnya dipagi hujung minggu yang indah.

Wardah bangun sambil menggeliatkan tubuhnya. Sambil menggesel-geselkan matanya wardah bangun untuk mengambil wudu’. Dijenguknya pada jendela.

‘ahh dah terlambat!’ getus hatinya.

“kak, kenapa akak tak kejutkan wardah. Wardah tak solat subuh hari ini. Nak pahala sorang-sorang je!” ujar wardah sambil mencekak pinggang.

Tiada jawapan…

“dahla tak kejutkan orang subuh, lepas tu dia pulak tidur lepas subuh. Tak tanggal telekung plak tu. Tak senonoh betul!” ujar wardah lancang tanpa berfikir.

Masih tiada jawapan…

Wardah meluru ke bilik mandi, mahu membersihkan diri kerana memikirkan dia ada temujanji dengan rakannya di court futsal.

Usai mandi, wardah bergegas bersiap. Tetapi marjan masih tidak bangun lagi.

kak mar, wardah nak pegi main futsal. Jangan mesej-mesej wardah nanti ye. Wardah sibuk!.” Pesan wardah.

“kak mar dengar tak ni? Tidur mati rupanya…”

Masih tiada jawapan.

Wardah datang menghampiri katil marjan. Digerak-gerakkan badan marjan supaya bangun. Tanpa sebarang jawapan. Tanpa sebarang gerakan.

Wardah mula cemas. Keringat mula membasahi tubuhnya. Dirapatkan telinganya pada dada marjan. Tiada lagi denyutan nadi, mahupun denyutan jantung. Nafasnya terhenti. Muka marjan tersenyum pucat bersama telekung putih bersih yang menutupinya.

“kak, bangun kak. Kak…”

“kak mar, jangan buat wardah macam nie. Bangun kak!…”

“kak…. Kak mar….”

Tersedu sedan wardah menahan tangis. Tiada guna lagi tangisan, tiada guna lagi sendu. Yang pergi tetap pergi.

****

Arwah marjan sudah tiga hari pulang ke Rahmatullah. Marjan mempunyai ketumbuhan pada bahagian otaknya. Dia hanya sedar ketika, ketumbuhannya itu sudah membesar pada tahap yang kritikal.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa, kerana dia datang dari keluarga yang susah. Dia tidak mahu membebani keluarganya dan adik-adiknya yang seramai 9orang. Dia menanggung sakitnya tanpa ada seorang pun yang menyedarinya. Walaupun wardah.

Pagi itu, usai dhuha, wardah mengemaskan barang-barang arwah marjan untuk dihantar pulang kerumah arwah marjan. Wardah terpandang pada sekeping nota yang dia sudah biasa melihatnya. Lalu dia membuka lipatannya dan sebutir demi sebutir air matanya rebah di pipi.

Maafkan wardah kak, wardah janji, wardah akan meneruskan perjuangan akak dalam jalan dakwah dan tarbiyyah ini. Semoga akak tenang bersemadi disana. Maafkan wardah kak. Wardah khilaf. Maafkan wardah.

Janji wardah.

****

“dunia adalah ladang akhirat. barangsiapa yang menanam kebaikan, maka ia akan menuai kebahagiaan. dan barangsiapa yang menuai keburukan, maka ia akan menuai penyesalan. kita tutup majlis kita dengan surah AL-Asr. assalamualaikum.”

‘alhamdulillah

wardah tenang menutur hamdallah.

Bersambung …

He always be there

Manusia sering sibuk

sehingga terlalu letih untuk mengingati NYA

Manusia juga sering senang

lalu menghabiskan seluruh waktunya dengan bersenang lenang

Hinggakan Akhirnya

DIA yang menegur kita

Gunakanlah waktumu untuk mengingati KU

kerana kau tak pernah tahu

Bilakah masanya kau akan kembali kepada KU

  • 12.15am/26feb10/13rabiulawal1431h
  • Ameenah, IIUM gombak
  • He Always be there~