Refleksi Juzuk 9: Iman Yang Tiada Tandingan

Assalamualaikum

 

Wahai orang-orang beriman! Marilah kita berhibur dengan kisah-kisah di dalam Al-Quran yang Allah swt nukilkan buat kita semua! “Dan Musa berkata, ‘Wahai Firaun, Sungguh Aku adalah seorang utusan dari Tuhan seluruh Alam. Aku wajib mengatakan yang sebenarnya tentang Allah. Sungguh, aku datang kepadamu dengan membawa bukti yang nyata dari Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Israel pergi bersamaku” (Al-A’rah:104-105)

Sahabat-sahabat yang dimuliakan,
Sesungguhnya Allah swt menurunkan Al-Quran bukanlah sia-sia. Ia sebagai panduan bukan sahaja untuk umat Islam tetapi buat seluruh umat manusia. Jadi sepatutnyalah kita sebar-sebarkan tentang ayat-ayat Al-Quran kepada seluruh umat manusia.

Telah Allah ceritakan di dalam Al-Quran kisah-kisah orang terdahulu sebagai panduan kita dalam menjalankan kehidupan seharian. Sesungguhnya telah ramai manusia yang beriman sebelum dari kita di zaman nabi-nabi terdahulu. Mereka mendapat ganjaran yang hebat daripada Allah swt. Dan sesungguhnya telah ramai juga manusia yang engkar dan mendustakan risalah nabi-nabi mereka. Akibatnya, mereka diseksa dengan azab yang pedih bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.

Juzuk kesembilan membentangkan kepada kita sebuah kisah yang popular iaitu kisah Nabi Musa as dan Bani Israel menentang Firaun dan kaumnya. Kisah ini bukan sahaja diketahui oleh umat Islam tetapi ia sangat lazim di kalangan bangsa Yahudi dan Nasrani. Kenapa ia diceritakan oleh Allah berkali-kali di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran? Pastinya banyak hikmah yang tersimpan untuk kegunaan umat manusia hari ini. Amat rugilah jika kita tidak mengambil iktibar!!

Kisah pertembungan Nabi Musa as dan Firaun di dalam surah Al-A’raf sepatutnya membangkitkan kesedaran kita tentang peri pentingnya iman dalam kehidupan. Nabi Musa as diberi tugasan berat oleh Allah untuk menyampaikan dakwah Islam kepada Firaun, seorang penguasa yang zalim dan kaumnya.

 

Keberanian Nabi Musa menyatakan kebenaran di hadapan Penguasa yang pernah mengakui keTuhannya di muka bumi ini sangat-sangatlah dipuji. Inilah hasil pembentukan iman yang sempurna di dalam hati. Tiada keraguan, tiada ketakutan dan tiada kesangsian dalam menyatakan yang benar dan yang haq.“Mereka (pesihir) berkata, Wahai Musa, Engkaukah yang akan melemparkan lebih dahulu, atau kami yang melemparkan?. Dia (Musa) menjawab, ‘Lemparkanlah terlebih dahulu’ Maka mereka melemparkan, mereka menyihir mata banyak orang dan menjadikan orang banyak itu takut kerana mereka memperlihatkan sihir yang hebat. Dan kami wahyukan kepada Musa ‘Lemparkanlah tongkatmu, Maka tiba-tiba ia menelan habis segala kepalsuan itu” (Al-A’raf:114-117)

Nabi Musa as dikurniakan Allah mukjizat yang banyak. Tongkat baginda boleh bertukar menjadi ular yang besar manakala tangan baginda bertukar menjadi putih bercahaya. Ia sebagai bukti kebenaran Agama yang dibawa. Ia sememangnya sesuai dengan suasana masyarakat di zaman itu.

Lantaran tercabar dengan kehebatan Mukjizat Nabi Musa as, Firaun telah memanggil ahli sihir yang terhandal untuk bertarung dengan Nabi Musa as.

 

Ahli sihir telah melemparkan ular-ular yang palsu berdasarkan ilmu-ilmu sihir mereka manakala Nabi Musa telah Allah bantu dengan menukarkan tongkat baginda kepada Ular besar yang sebenarnya. Apabila Ular besar itu menelan semua ular palsu tadi, barulah ahli sihir dan masyarakat tahu yang mana satukah kebenaran dan yang mana satukah kebatilan. “Mereka berkata, ‘Kami beriman kepada Tuhan seluruh alam, iaitu Tuhannya Musa dan Harun” Al-A’raf:121-122.

Firaun mengancam dengan mengatakan ‘Pasti aku akan potong tangan dan kakimu dengan bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semua’
Nah! inilah nilai KEIMANAN yang lahir atas ILMU yang jelas dan KESEDARAN yang benar (Salimul Aqidah). Ia melahirkan IMAN yang kuat meskipun hanya baru sahaja sejenak beriman. Kisah ahli sihir Firaun ini menggambarkan kepada kita bahawa perubahan seseorang itu bermula dengan iman yang lahir daripada kesedaran terhadap kebenaran.

Terkesima dengan kebenaran yang nyata di hadapan mereka, ahli-ahli shir Firaun terus merebahkan diri bersujud kepada Allah menyatakan keimanan mereka disaksikan Firaun dan seluruh masyarakat Mesir pada hari itu. Hari tersebut menjadi sejarah yang terhebat dalam kehidupan masyarakat Firaun yang pertama kali didedahkan dengan KEBENARAN.

Keimanan ahli-ahli sihir Firaun bukanlah suatu rekaan, ia adalah lahir dari kesedaran terhadap hakikat yang sebenar berlaku di hadapan mereka. Mereka yang mempunyai ilmu yang tinggi tahu menilai antara kebenaran dan kebatilan. Ilmu sihir yang mereka amalkan selama ini hanyalah ilmu batil yang menyesatkan mereka, tetapi ilmu Nabi Musa yang dikurniakan oleh Allah adalah ilmu yang haq yang mampu menunjuki manusia kepada hakikat kehidupan yang sebenar.

Tunduk dan sujudnya mereka menandakan keimanan yang lahir dari jiwa yang penuh KESEDARAN. Lantaran itulah, iman mereka mendorong mereka menyatakan KEIMANAN mereka biarpun nyawa mereka terancam.

Jawab mereka dengan yakin ‘Sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami’ dan engkau tidak melakukan balas dendam kepada kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami ketika ayat-ayat itu datang kepada kami’

Mereka lalu berdoa ‘Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Muslim (berserah diri kepadaMu). Al-A’raf:124-125.

Justeru, tanyalah diri kita sendiri, yang telah lama mengakui beriman kepada Allah swt. Mantapkah kesedaran dalam hati kita sekuat kesedaran ahli-ahli sihir Firaun yang mampu mengubah diri mereka daripada KEJAHILAN kepada KEIMANAN? Mantapkah iman kita seteguh IMAN ahli-ahli sihir Firaun yang menyatakan keimanan di hadapan penguasa yang zalim. Sesungguhnya iman mereka telah diuji dan mereka berjaya membuktikannya. Inilah iman yang tiada tandingannya.

Untuk diri saya dan sahabat-sahabat semua, TEPUKLAH DADA dan TANYALAH IMAN!!

Wallahua’lam
Dr Ihsan Abas

Timbalan Pengerusi ISMA Australia.

4 thoughts on “Refleksi Juzuk 9: Iman Yang Tiada Tandingan

    • salam dila
      apa2 jemaah pun bagus dalam pentarbiyahannya
      selagi kita semua berpegang dengan manhaj yang satu dan apa yang ditinggalkan rasulullah untuk kita…🙂
      tapi jika berminat, boleh layari laman web ni
      http://www.ismaweb.net

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s