ada sinar dihujung penderitaan

Bumi Gombak hujan lagi, angin bayu lembut menyapa keheningan malam, lampu-lampu nian menyala-nyalakan cahayanya disetiap sudut, ditambah sinaran cahaya bulan milik Penciptanya, sungguh Indah! Dan Kala ini, sedih, risau, bimbang, semua bercampur baur, menjadi satu. Kekadang, air mata ini tumpah tanpa dipinta, tanpa didesak mengalir dengan sendiri, lalu aku pun gusar, bimbang jika air mata yang tumpah ini kerana dunia dan masalahnya, bukan kerana Allah, bukan kerana takutkan-NYA. Aku sangat takut, mempersekutukan-NYA  dalam sembunyi.

Aku tahu, kesenangan dan kemudahan itu impian semua. Impian semua manusia. Aku juga tahu, kesenangan itu bukanlah di raih dengan kesenangan juga, tapi memerlukan satu proses kesusahan yang akan diiiringi dengan kesenangan pada penghujungnya. Sebagaimana para Mu’min merindukan dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya. Menanti saat bertemu dengan Allah. Indah kan? Sungguh Indah! Tetapi, dalam meraih keindahan itu memerlukan satu proses kehidupan yang penuh dengan keperitan, penderitaan dan kesukaran pada dunia dan Isinya.

Aku juga percaya ungkapan Rasulullah kekasih Allah, sepenuhnya meyakininya bahawa;

“siapa yang akan diberikan kebaikan oleh Allah diberikan padanya penderitaan terlebih dahulu”

– Bukhari

“dan apabila menderita kesusahan, dia bersabar, ini merupakan kebaikan baginya” –Muslim

Kesusahan + Penderitaan + Kesabaran = Kesenangan

“sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan” ungkapan ini diulang dua kali dalam Surah Insyirah. Dua kali, bermakna selepas kesulitan akan ada kemudahan. Selepas kesukaran akan ada kesenangan. Aku meyakininya, kerana itu adalah Ungkapan Tuhanku, DIA yang memberi kesukaran dan DIA juga yang akan memberikan kesenangan.

Lalu, kerana apa lagi aku mengeluh dan bersedih diatas penderitaan sementara? bukankah disebaliknya akan ada kesenangan dan kemudahan yang berpanjangan. Sungguh aku meyakininya. Janganlah disebabkan kepedihan jatuh bangun kehidupan sebagai penghalang untuk aku menjadi sebenar-benar hamba yang bersyukur. Sungguh, aku terlalu ingin menjadi golongan kanan itu, yang akan berada di antara pohon bidara yang tidak berduri kelak disyurga, dan disana terdapat pohon pisang yang bersusun-susun buahnya, dibawah naungan yang terbentang luas, dan bersama air yang mengalir terus menerus bersamanya buah-buahan yang banyak yang tidak berhenti berbuah dan tiada larangan mengambilnya. Sungguh aku merindukan syurga!

Berikanlah aku kesabaran Ya Allah. Dan janganlah Kau jadikan Dunia dan Isinya adalah tujuan hidupku. Sungguh, jangan kau tinggalkan aku walau sekelip kerdipan mataku. Amin..

-Bumi Gombak

-26/3/10, 9.00pm

Advertisements

Bagaikan Air!

Petang yang sunyi, aku kira semuanya sedang menelaah pelajaran. Aku bingkas bangun dari meja, menenyeh-nenyeh mata yang seakan berair, lantas menutup kitab Adab yang sekian lama terbuka. Minta dikuatkan ingatan dan kefahaman. Semua insan ada daya kefahaman, ada daya ingatan, jika ada yang mengingatkan, jika ada yang menyeru. DAKWAH! Aku kira itu satu perkataan yang cukup untuk menggambarkan kefahaman dan peringatan. DAIE’ dia faham dan dia mengingatkan.

Jendela ku kuakkan biar luas permandangan, memerhatikan alam yang terbentang luas itu kesukaanku. Aku kira sebagai wasilah untuk menyucikan mata dan menyucikan hati. Ada seekor burung,  menjengah dan bertenggek diatas jendela, selalu juga aku perhatikan, tetapi tidak aku menghalaunya, lalu aku  mengujar; “wahai burung, aku cemburukan kau, kau pasti selalu mengingati Tuhanmu, Tuhan Kita”. Lalu burung itu berlalu pergi menjengah rakannya yang memanggil pergi, aku fikir, mungkin menyerunya ke arah kebaikan juga. ‘Kau lebih istimewa, kerana ALLAH melebihkan manusia sebagai Khalifah, sekali kau menyeru manusia ke arah kebaikan, pahala Allah itu tidak terkira nilainya buatmu…’

Ya. Aku mengangguk faham.

Aku tergambar bagaimana teguhnya Umar menyampaikan agamanya, agama Islam. ketika dia memasuki Palestin untuk menakhluki negeri itu, beliau bertemu dengan seorang nenek yang sudah sangat tua. Begitu lanjut usia nenek itu sehingga dikisahkan kulit keriputnya menutupi kedua kelopak matanya. Ketika Umar mengajak dan menyerunya kepada Islam, nenek itu membuka kedua matanya dan bertanya hairan mengapa Khalifah itu tetap berharap dirinya masuk Islam. apa untungnya pada Umar? Khalifah Umar lantas menjawab sambil menengadahkan kedua tangannya, “Ya Allah SWT, saksikanlah, aku telah menyampaikan Islam.” Lalu, Umar berlalu pergi meninggalkan nenek itu.

Umar begitu teguh menyampaikan Islam. tapi aku?

Islam itu ibarat air yang harus terus menerus mengalir, mengalir bersama Dakwah dengan keteguhan dan ketabahan. Sebagaimana telah mengalirnya Islam melalui peperangan Badar. 313 orang Sahabat yang menyamai bilangan Rasul bergerak ke hadapan menentang 1000 orang tentera musyrikin tanpa gentar, tanpa ada ketakutan. Betapa peperangan Badar amat penting bagi Islam disisi Rasulullah dan Sahabatnya sehinggakan Baginda S.A.W telah berdoa kepada ALLAH; “Wahai ALLAH, Kalau pasukan (kaum Muslimin) ini binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, Jika Engkau mengkehendaki, engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Badar,  merupakan survival, cabaran dalam memastikan Islam tetap mengalir dimuka bumi Allah ini, Pengorbanan Rasulullah dan Sahabat dalam peperangan ini memberikan ruang kepada Islam untuk terus berkembang sehingga membolehkan kita yang Jauhnya beribu batu dari medan pertempuran turut sama mengecapi nikmat Islam. sekiranya Badar menjadi titik akhir untuk Islam, adakah kita sekarang mengecapi Nikmat Islam?. Syukur lah!

Islam terus menerus mengalir dibawah penguasaan Khalifah ar-Rasyidin meskipun seluruh Ummah menangisi pemergian Rasulullah yang tercinta. Dari Khalifah Abu Bakar, kepada Umar, Uthman, Ali R.A, Islam tersebar ke segenap penjuru dunia, biarpun kedua tenaga penguasaan terbesar didunia Rom dan Parsi juga telah berjaya dialirkan arus Islam kedalamnya. Sungguh! Kita pernah menguasai dua per tiga dunia!

Zaman berganti zaman, Era, berganti Era, Kerajaan berganti kerajaan, Dari Bani Umaiyah di damaskus, berterusan menembusi kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad, Islam tetap teguh mengalir didalam jiwa Umatnya. Biarpun perpecahan demi perpecahan melanda kerajaan-kerajaan Islam Idrisi, Aghlabi, Tuluni, Ikhdisi, Hamdani hingga ke kerajaan fatimiyyah, islam masih teguh dengan penjagaan ALLAH biarpun sedikit perpecahan. Islam terus menerus berkembang semula sekitar 1800 M, melalui pemerintahan Kerajaan Safawi di Parsi, Mughal di India dan Uthmaniah di Turki. Dan seterusnya cebisan-cebisan Dakwah Islam itu masih dapat kita hidu sehingga hari ini. Syukur!

Dakwah terus tersebar jika ada yang menyebarkannya. Islam terus terpahat dihati manusia jika ada yang memahatkannya. Hari ini, siapakah yang perlu memikul tanggungjawab ini untuk menyebarkan dan memahatkan Islam dalam Hati manusia? Bayangkan sahaja jika tiada pengorbanan dan perjuangan mereka yang terdahulu, adakah kita dapat mengecapi Nikmat Islam? Allahu A’lam.

Langit itu kadangkalanya cerah, kekadang gelap, mendung, begitu juga dengan kehidupan, adakalanya jatuh, dan bangun kembali. Begitu juga aku, aku terlalu mahu meneruskan perjuangan Rasulullah, perjuangan Sahabat-Sahabat dan mereka yang terdahulu dalam menyebarkan Islam, dalam menabur Dakwah Islam di muka bumi Allah. Dan aku harus mempunyai kefahaman untuk saling mengingatkan, saling memberikan. Bantulah aku Ya Allah…

Aku sedang belajar. Dan terus selamanya masih belajar. Bantulah aku Ya Allah!

UIA, Gombak

3.13PM/22mac10/7RabiulAwal1431H

Cinta Sahabat!

aku tahu, aku pernah bersahabat, dan aku sedang bersahabat, dan aku akan terus bersahabat, selamanya. kerana sahabat itu adalah cerminan aku, dan Allah tahu aku tak mampu hidup sendiri, sendiri tanpa sahabat. kejahilan mengajar kita sama-sama mencari hikmah baru, mencari titik baru, mencari warna baru yang terselit di balik-balik noktah kehidupan. dugaan dan kesempitan benar-benar mengajar erti kelapangan, kelapangan untuk kita saling berkasih, saling bercinta dalam tautan kasih Ilahi.

aku tahu, kita saling mengingati, saling mengingatkan, saling diingati, sepanjang masa, saat duka, saat suka kita saling bersama, bersama menyemai kasih. kasih bersama Ilahi. dalam bercinta, memang lumrahnya, segalanya kita sanggupi, kerana kita sedang bercinta! kita makan bersama, berjalan bersama, mengorak langkah bersama, gelak, tawa, suka, duka, semuanya bersama. hakikatnya, kita tak pernah kelu, bibir sentiasa menguntum senyum, walau didalam hati kekadang pahit, pahit dengan cerita tersendiri.

aku tahu, kita sanggup berkorban segala, duit, masa, kasih, tenaga, kita sanggup beri, sanggup hulur buat sahabat, sanggup berpayah buat sahabat, bukan kerana apa-apa, bukan kerana siapa, tapi kerana kita kasihkan sahabat, kerana kita sayangkannya kerana ALLAH. saat sahabat muram, gusar, lelah, perit, payah, kita sentiasa menyediakan bahu untuk diadukan, menyediakan telinga untuk menjadi tempat pelampias duka, menjadi wasilah buat menenangkan diri. kerana kita tahu, sahabat adalah kiriman dari Allah, buat peneman, penyokong, pendokong, dikala suka dan duka.

hakikatnya, aku juga tahu, kita saling merindu, saling menanti, saat bermesra berkumpul bersama. lumrah bercinta! merindu untuk bertemu! tetapi pabila bertemu, kita tidak pernah jemu, dan pabila berpisah, kita tak pernah gelisah, kerana kita tahu, sahabat di jaga Allah, dan kasih kita didalam Rahmah.

mencintai dan dicintai, itu sikap Para Sahabat R.A, saat sukar, segalanya sanggup dikorbankan, segalanya sanggup diberi, bukan kerana apa, tetapi kerana cinta dan Kasih-NYA. Ikramah, dihujung nyawanya, kelihatan haus, lalu dihulur segelas air, buat pengilang dahaga, sedang mahu meneguk air, kelihatan disebelah sahabatnya juga haus, lalu diberikan air tersebut, dan diminumnya, dan Ikramah mendapat penghilang haus yang Abadi; SYAHID, kedua-duanya Syahid!

mengorbankan apa yang sukar untuk dikorbankan, itulah sahabat, memberikan apa yang disayangi, itulah Sahabat! Abu Bakar R.A, sanggup menukar Rasulullah S.A.W dengan Ibu bapanya, sebagai ganti kepada Pemergian Rasulullah yang sudah dijemput Ilahi. ‘aku sanggup menggantikan tempatmu dengan Ibu Bapaku wahai Rasulullah’. sayu, terkedu, tapi itulah kuasa bersahabat! sanggup segala.

Aku tahu, kita saling merindu, saling mengimpi, taman firdausi, tempat dimana kita kekal berkasih, kekal bercinta. sungguh, aku mengimpikan waktu itu, kita saling berpegangan tangan, saling mengulur tangan, bersama dikiri dan kanan kerabat terakrab, melangkah masuk dengan penuh kelembutan, bukan atas nama jemaah, bukan juga atas nama persatuan, tapi atas nama I’bad, I’badurrahman. sungguh! aku rindukan saat itu.

moga, kasih kita, cinta kita, kerana ALLAH, dan selamanya dibawah penjagaan ALLAH, aku amat mengharapkan pegangan dan pautan sahabat didalam hari-hari yang mendatang, dalam hari kejahilan dan kelemahan ku, aku sangat mengharap! bolehkah wahai sahabat?sanggupkah kamu?

buat sahabat, salam tsabat, salam perjuangan, salam mujahadah, dan bermujahadahlah sedaya mampu, kerana akhirnya ada kemanisan yang tidak dapat dijual beli.

tag : semua sahabat.

P/s : buat sahabat UIAM, salam Imtihan, salam perjuangan. semoga kemenangan milik kita, dan keredhaan ALLAH, pengiring kita. amin.

mengoreksi diri

status

Alhamdulillah, kerja-kerja penterjemahan sudah selesai. 429 muka surat telah sempurna diterjemahkan. cuma sebagai manusia tidak lepas dari cacat cela dan kekurangan.

dan hasilnya tawakkalna A’lallah.

sebelum dan selepas

***********************************************************************************************

Puas aku mengoreksi diri, pada waktu petang yang aku rasa tenang, tugasan semester yang sudah terlunas kesemuanya, rahmat dari ALLAH yang membantu insan kerdil ini. Namun tugasan pada diri, sebagai daie, sebagai khalifah, masih belum tertunai sepenuhnya.

Semester panjang ini seakan pendek, pantas berlalu dan waktu-waktu itu dipenuhi dengan pelbagai tugasan. Tugasan pada dunia,  kewajipan pada akhirat. Kadangkala, kesempitan dihimpit tugasan-tugasan, kerja-kerja kuliah membuatkan aku mengoreksi diri. Bermuhasabah tanpa henti.

Untuk apa aku bersungguh-sungguh? Untuk siapa? Kerana apa? Ikhlaskah aku?

Syukur! ALLAH beri sahabat-sahabat untuk membantu dan dibantu. Allah beri mereka untuk sentiasa mengingatkan kepada-MU, Allah hadiahkan mereka untuk sentiasa di sisi, kerna ALLAH mengerti diri ini tidak mampu untuk seorang diri.

Tetapi, Kadangkala, hati merengus letih, minta kerehatan. Namun, jika kerehatan jasadi itu sahaja yang aku beri, hati tidak merasa puas. Sungguh! Hati bukan meminta yang itu!

Rupanya, kutemui kerehatan itu dalam kesibukan. Kesibukan yang senantiasa buat aku menutur nama ALLAH. Buat aku bergantung sepenuhnya pada Kudrat-NYA, buat aku rasa kesanggupan aku berbaloi jika ALLAH yang aku tuju. Ya ALLAH, hindarilah aku daripada merengus dan merungut! Aku tidak mahu jadi hamba yang kufur. =(

Kadangkala aku meminta, biarlah dugaan dan kesibukan itu sentiasa melanda, jika aku dapat mengingati-NYA sepenuh masa. Rasa syukur tersemat dalam hati, rapat-rapat, lalu bibir menutur;

Ya Allah, kalau bukan sibuk yang kau beri, dimanalah aku sekarang? Aku sedang melakukan kebaikan atau kejahatan?…

Teringat kepada Imam Bukhari, hebatnya beliau dalam menuntut ilmu, ilmu yang dicarinya berkekalan sehingga hari ini, dan bermanfaat padanya hingga hari akhirat. Yang lebih menakjubkan ialah, pergantungan sepenuhnya kepada ALLAH, beliau tidak akan meletakkan satu hadith didalam Sohehnya melainkan selepas solat dua rakaat. Bermakna, setiap satu hadith yang diletakkan didalam kitab hadithnya soheh bukhari akan diiringi dengan solat dua rakaat bermunajat kepada ALLAH. Keberkatan yang beliau cari, bukan kebanggaan. Soheh Bukhari, didalamnya ada 2602 hadith tanpa pengulangan, dan 9082 hadith bersama pengulangan. Jika setiap satu hadith disertai dua rakaat solat sunat, berapa banyak pula bilangan rakaat solat yang imam bukhari lakukan sepanjang hidupnya?

Allah. Maha suci Allah. Betapa hebatnya hamba-MU itu Ya ALLAH.

Begitu juga imam hambali, seorang pelajar yang sangat-sangat menghormati gurunya. Beliau tidak akan duduk selagi mana gurunya itu tidak duduk, dan tidak akan bangun selama mana gurunya itu tidak bangun. Imam Hambali juga sentiasa akan mengutus senyum dan salam dahulu sebelum yang lain. Hebat kan?

Ingatan bersinggah pabila mengenangkan Imam shafie yang hadir ke kelas tanpa membawa apa-apa kertas mahupun peralatan tulis kerana beliau sudah kehabisan  pensel dan kertas. Dan apabila gurunya Imam Muslim Al-Zanji mengajar, imam shafie menulis pada tapak tangan kiri dengan jari telunjuk kanannya. Gurunya menyedari lalu bertanya adakah Imam Shafie sedang bermain-main. Lalu dijawabnya imam shafie bahawa dia sedang belajar dan imam shafie mengulang tentang apa yang diajarkan gurunya. Tepat! Tiada satu huruf pun yang tertinggal. Hebat kan? Berkat ilmu nya sampai kepada kita hari ini. Tetapi adakah keberkatan pada ilmu kita hari ini ianya juga sama?

Dan aku pada hari ini, generasi hari ini, banyak kelemahannya, aku masih cuba mengikhlaskan diri dalam menuntut ilmu. Cuba mencari rasa yang paling dalam di dalam hati tentang apa yang aku lakukan. Ada ikhlas kah? Wujud Jujur kah?

Bila disoal tentang keberkatan ilmu, aku rasa banyak yang terkurang, disana-sini. Mengeluh, merungut dan kadangkalanya tanpa ada rasa sedar untuk mengaitkan semua ilmu yang dipelajari kepada ALLAH. Aku kekadang khilaf, diri selalu bertanya, berkatkah ilmuku selama ini? Baca hari ni, esok lupa sedikit. Baca semalam, hari ni samar-samar dalam ingatan. Ada keberkatan kah?

Lalu diri terus dan menerus mengoreksi diri. Mencari kelemahan untuk diperbaiki. Bukan aku mengaku aku lemah! Bukan juga aku menghindar dari kewajipan. Tetapi aku masih memperbaiki diri, masih cuba mengoreksi diri. Sungguh aku inginkan keberkatan ilmu yang bisa aku sampaikan kepada yang lain dalam keadaan ALLAH meredhakan aku! Sungguh, aku jua berharap.

tabir senja menutup tirainya

hadir cahaya dari langit ilahi

aku yang terus mengoreksi diri

sungguh aku inginkan Nurul Huda, Badru Duja, Misbahuz Zolam, dan Syamsud Dhuha yang menerangi hati yang kadangkala malap tidak bercahaya.

p/s : terime kasih pada Farah, Asma, Sab dan Kak Fadh. tanpa kalian, kuranglah semangat saya ni dalam menyiapkan tugasan terakhir semester ini. moga penat lelah kita diredhai ALLAH dan kerana ALLAH kita melakukannya. amin

-UIAM, gombak

6.50PM/19mac10/4rabiulawal1431H

Sebenar-Benar Cinta

Wardah Sufi [Part 4]

***

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan ALLAH melalui kehidupan Rasul-NYA.

Pagi itu, walaupun Langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap…

Pagi itu… Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah…

“Wahai Umatku .. kita semua ada dalam kekuasaan ALLAH dan cinta kasih-NYA. Maka taati dan bertaqwalah kepada-NYA. Ku wariskan dua perkara pada kalian, AL-Quran dan Sunnahku. Barangsiapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintai aku, dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku…”

Khutbah singkat itu di akhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap seluruh sahabatnya satu persatu. Seramai 124 ribu orang sahabat yang sama bilangannya dengan bilangan Nabi dan Rasul telah berjaya dikumpulkan dengan izin ALLAH pada Hajjatul Wada’.

“Allah sudah menawarkan kepada seorang hamba-NYA bagi memilih hidup bahagia di sisi-NYA.”

Abu bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca. Menangis teresak-esak hingga air mata membasahi janggutnya.

Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.

Usman menghela nafas panjang.

Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.

Isyarat itu telah datang dan saatnya sudah tiba …

“…Pada hari ini Aku sudah sempurnakan bagi Kamu agama kamu dan Aku sudah melengkapkan nikmat-KU atas kamu, dan Aku redha bagi kamu bahawa Islam itu agamamu…” AL-Maidah : 3

“Rasulullah akan pergi meninggalkan kita semua…”

Keluh hati semua sahabat kala itu…

Manusia yang tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia…

“Ada seorang hamba yang diberi dua pilihan oleh ALLAH, apakah dia mahu dikurniakan perhiasan dunia menurut kemahuannya, ataupun ingin mendapatkan apa yang ada di sisi ALLAH. Dia memilih apa yang ada di sisi ALLAH…”

Abu Bakar menangis apabila mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W itu lalu berkata.

“Wahai Rasulullah, kami sanggup menebus tuan dengan ayah dan ibu kami.”

Tanda-tanda itu semakin kuat…

Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu…

Matahari kian meninggi, tetapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-Tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

“Bolehkah saya masuk?” tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk.

“Maaflah, ayahku sedang demam.” Kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup daun pintu.

Kemudian Fatimah kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Fatimah.

“siapakah itu wahai anakku?”

“tak tahulah wahai ayahku, orang sepertinya itu baru sekali ini anakanda melihatnya.” Tutur Fatimah lembut.

Lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah Malakul Maut.” Kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap diatas langit dunia untuk menyambut ruh kekasih ALLAH dan Penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan ALLAH?” tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu.” Kata Jibril.

Tetapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.

“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan Khawatir wahai Rasul ALLAH. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku : “kuharamkan syurga bagi siapa sahaja kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya.” Kata Jibril.

Detik-Detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas.

Perlahan Ruh Rasulullah ditarik. Kelihatan seluruh tubuh Rasululah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

“Jibril, betapa sakitnya Sakaratul Maut ini.” Perlahan Rasulullah Mengaduh.

Fatimah memejamkan mata, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam, dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau memalingkan wajahmu Jibril?” tanya rasulullah kepada Malaikat pengantar wahyu itu.

“siapakah yang sanggup, melihat Kekasih ALLAH direnggut ajal.” Kata Jibril.

Sebentar kemudian kedengaran Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya ALLAH, Dahsyatnya nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu.

Ali segera mendekatkan telinganya.

“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum.”

[Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.]

Di luar pintu tangis mulai kedengaran bersahutan. Sahabat saling berpelukan.

Fatimah menutupkan tangan di wajahnya. Dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummati … Ummati … Ummati …”

Dan Berakhirlah kehidupan manusia mulia yang memberi sinaran itu.

“Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa Barik wa sallim alaih.”

***

Wardah menarik nafasnya dalam-dalam. Kerna tahu, perjuangan Rasulullah perlu diteruskan. Perjuangan yang  Masih berbaki.

Air matanya di seka.

‘aku merinduimu wahai Kekasih ALLAH…’

***

“Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, maka ALLAH akan berselawat kepada nya sebanyak Sepuluh kali” Hadith Soheh – Bukhari.

Bersambung…

Wardah Sufi [Part 3]

“kakak, umi nak tanye ni. Kakak jawab jujur ye.” Lembut kedengaran suara ibu marjan di talian telefon.

“ye umi, Inshaallah akak jujur, kenape umi? Serius je nie?. hehe” Marjan membalas pertanyaan ibunya dengan penuh sopan.

“kakak ade duit lagi? Abi tak dapat nak hantar duit belanja bulan ni. Abi masih belum dapat kerja lagi.

Hati marjan cuba berlaku tenang. Menarik nafas sedalam-dalamnya. Ada rasa sebak menyelubungi ruang hatinya, lantas diseka air mata yang turun bercucuran. Dia faham benar dengan masalah yang dialami abinya. Abinya telah dikhianati kawan sekerja dan telah dituduh menggunakan duit syarikat secara rahsia. Siasatan demi siasatan dilakukan, dan Abi tetap dipecat, kerana dituduh bersubahat.

Marjan teringat pada Rasulullah S.A.W, ketika mana kerja menggali Khandak (Parit) dijalankan, Rasulullah dalam keadaan Lapar sehingga baginda meletakkan batu pada perut baginda untuk menahan rasa lapar yang dialaminya itu. Lalu datang Sahabatnya bertanyakan tentang bunyi yang didengari dari bahagian badan Baginda. Lalu baginda menjawab, “sesungguhnya aku sedang menahan lapar.” Tahulah sahabat baginda tersebut tentang apa yang di alami baginda.

‘Ya ALLAH, itu Rasul MU, sedangkan aku ni insan biasa yang hanya sehari tak dapat makan pun takkan lah nak mengeluh.’ Istighfar marjan di dalam hati.

“oh ye umi, kakak ade tolong kawan-kawan jual naskhah Al-Quran kat sini, inshaallah, duit yang ade cukup sampai kakak habis semester.” Marjan bersuara.

“Alhamdulillah. Umi mintak maaf ye kakak, inshaallah, umi sentiasa doakan kakak dari jauh. Kakak jage diri, jage solat ye. Belajar rajin-rajin…”

“Baik umi, inshaallah, sokongan dan doa umi lebih berharga tau dari sebutir nasi.”

Serentak mereka tertawa. Sambil mengujar salam, Talian dihentikan.

***

“Kak Mar dah makan?” Sambil membuka polistrin makanan, wardah mempelawa marjan untuk makan bersama.

“akak puasa hari ni, inshaallah.” marjan mengambil tempat di meja study. Mahu menyiapkan minit mesyuarat untuk perjumpaan akhowat malam ni.

“eh, kak mar kan dah seminggu puasa. Puasa ape lagi kak?” air muka wardah bagai ligat berfikir. Mungkin mengira bilangan hari marjan berpuasa!

“haah, takpela, kan kita berpuasa ramadhan pun tiga puluh hari? Tak pe kan kalau akak nak cukupkan puasa sebulan bulan nie?” manis senyuman marjan. Langsung tiada kerut didahinya. Resah di hati hilang, saat dia sentiasa menyedari ada ALLAH di sisi.

“kak mar nie, wardah serius tau, kak mar kalau ade masalah beritahulah wardah.” Wardah menarik muka. Masam.

“wardah, tak baik tau bermasam-masam muka depan rezeki. Nanti kesian nasi tu teragak-agak takut nak masuk dalam perut wardah.”

Tawa mereka pecah. Marjan bijak menutur kata. Tiada satu pun perkataannya yang songsang. Tenang!

Dalam hati, wardah tahu, marjan sedang mempunyai masalah kewangan. Wardah ada meminta marjan untuk menerima duitnya walaupun sekadar pinjaman. Tetapi, dengan tawadhuk marjan menolak. Dikatakan masih ada insan yang lebih memerlukan. Hak sesama manusia perlu didahulukan!

***

“Kak Mar, Kau benar-benar mencontohi Akhlak kekasihmu, Rasulullah. Aku kagum! Sungguh!” wardah termenung di jendela. Langit petang terbentang luas. Ada sekawan burung-burung terbang, mungkin mahu pulang membawa makanan kepada kaum keluarga mereka. Langit Ilahi terlalu luas, sehingga tiada satu pun yang dapat menandingi kekuasaan ALLAH. Subhanallah!

“Ya ALLAH, sebagaimana Kau mempermudahkan Lautan untuk Nabi-MU MUSA, kau permudahkan Lautan kehidupan kami. Ya Rahim, sebagaimana Kau Menyejukkan Api yang membakar tubuh Nabi-MU IBRAHIM, Kau permudahkanlah lautan kehidupan kami ini. YA Latif, sebagaimana Kau menundukkan Angin-angin, Syaitan-syaitan dan Jin-Jin terhadap Nabi-MU SULAIMAN. Kau permudahkanlah Lautan kehidupan kami yang penuh dengan Dugaan Dunia, agar kami sentiasa merindukan Syurga-MU YA ALLAH.” Amin.

Wardah berdoa sepenuh harapan. Minta dipermudahkan segala urusan kerana dia pasti, SYURGA ALLAH yang sepenuhnya di harapkan!

***

Bersambung…

[part 1]

[Part 2]

Masih Ramai

Ramai Yang Masih bernafas
diberikan kehidupan
diberikan pendengaran
diberikan penglihatan
diberikan segala deria

dan ramai juga yang sudah ditamatkan waktunya
amalannya terhenti kecuali tiga
ilmu yang bermanfaat
sedekah jariah
doa anak yang soleh

soalnya

bersediakah kita untuk menghadapi masa itu.?