Bagaikan Air!

Petang yang sunyi, aku kira semuanya sedang menelaah pelajaran. Aku bingkas bangun dari meja, menenyeh-nenyeh mata yang seakan berair, lantas menutup kitab Adab yang sekian lama terbuka. Minta dikuatkan ingatan dan kefahaman. Semua insan ada daya kefahaman, ada daya ingatan, jika ada yang mengingatkan, jika ada yang menyeru. DAKWAH! Aku kira itu satu perkataan yang cukup untuk menggambarkan kefahaman dan peringatan. DAIE’ dia faham dan dia mengingatkan.

Jendela ku kuakkan biar luas permandangan, memerhatikan alam yang terbentang luas itu kesukaanku. Aku kira sebagai wasilah untuk menyucikan mata dan menyucikan hati. Ada seekor burung,  menjengah dan bertenggek diatas jendela, selalu juga aku perhatikan, tetapi tidak aku menghalaunya, lalu aku  mengujar; “wahai burung, aku cemburukan kau, kau pasti selalu mengingati Tuhanmu, Tuhan Kita”. Lalu burung itu berlalu pergi menjengah rakannya yang memanggil pergi, aku fikir, mungkin menyerunya ke arah kebaikan juga. ‘Kau lebih istimewa, kerana ALLAH melebihkan manusia sebagai Khalifah, sekali kau menyeru manusia ke arah kebaikan, pahala Allah itu tidak terkira nilainya buatmu…’

Ya. Aku mengangguk faham.

Aku tergambar bagaimana teguhnya Umar menyampaikan agamanya, agama Islam. ketika dia memasuki Palestin untuk menakhluki negeri itu, beliau bertemu dengan seorang nenek yang sudah sangat tua. Begitu lanjut usia nenek itu sehingga dikisahkan kulit keriputnya menutupi kedua kelopak matanya. Ketika Umar mengajak dan menyerunya kepada Islam, nenek itu membuka kedua matanya dan bertanya hairan mengapa Khalifah itu tetap berharap dirinya masuk Islam. apa untungnya pada Umar? Khalifah Umar lantas menjawab sambil menengadahkan kedua tangannya, “Ya Allah SWT, saksikanlah, aku telah menyampaikan Islam.” Lalu, Umar berlalu pergi meninggalkan nenek itu.

Umar begitu teguh menyampaikan Islam. tapi aku?

Islam itu ibarat air yang harus terus menerus mengalir, mengalir bersama Dakwah dengan keteguhan dan ketabahan. Sebagaimana telah mengalirnya Islam melalui peperangan Badar. 313 orang Sahabat yang menyamai bilangan Rasul bergerak ke hadapan menentang 1000 orang tentera musyrikin tanpa gentar, tanpa ada ketakutan. Betapa peperangan Badar amat penting bagi Islam disisi Rasulullah dan Sahabatnya sehinggakan Baginda S.A.W telah berdoa kepada ALLAH; “Wahai ALLAH, Kalau pasukan (kaum Muslimin) ini binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, Jika Engkau mengkehendaki, engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Badar,  merupakan survival, cabaran dalam memastikan Islam tetap mengalir dimuka bumi Allah ini, Pengorbanan Rasulullah dan Sahabat dalam peperangan ini memberikan ruang kepada Islam untuk terus berkembang sehingga membolehkan kita yang Jauhnya beribu batu dari medan pertempuran turut sama mengecapi nikmat Islam. sekiranya Badar menjadi titik akhir untuk Islam, adakah kita sekarang mengecapi Nikmat Islam?. Syukur lah!

Islam terus menerus mengalir dibawah penguasaan Khalifah ar-Rasyidin meskipun seluruh Ummah menangisi pemergian Rasulullah yang tercinta. Dari Khalifah Abu Bakar, kepada Umar, Uthman, Ali R.A, Islam tersebar ke segenap penjuru dunia, biarpun kedua tenaga penguasaan terbesar didunia Rom dan Parsi juga telah berjaya dialirkan arus Islam kedalamnya. Sungguh! Kita pernah menguasai dua per tiga dunia!

Zaman berganti zaman, Era, berganti Era, Kerajaan berganti kerajaan, Dari Bani Umaiyah di damaskus, berterusan menembusi kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad, Islam tetap teguh mengalir didalam jiwa Umatnya. Biarpun perpecahan demi perpecahan melanda kerajaan-kerajaan Islam Idrisi, Aghlabi, Tuluni, Ikhdisi, Hamdani hingga ke kerajaan fatimiyyah, islam masih teguh dengan penjagaan ALLAH biarpun sedikit perpecahan. Islam terus menerus berkembang semula sekitar 1800 M, melalui pemerintahan Kerajaan Safawi di Parsi, Mughal di India dan Uthmaniah di Turki. Dan seterusnya cebisan-cebisan Dakwah Islam itu masih dapat kita hidu sehingga hari ini. Syukur!

Dakwah terus tersebar jika ada yang menyebarkannya. Islam terus terpahat dihati manusia jika ada yang memahatkannya. Hari ini, siapakah yang perlu memikul tanggungjawab ini untuk menyebarkan dan memahatkan Islam dalam Hati manusia? Bayangkan sahaja jika tiada pengorbanan dan perjuangan mereka yang terdahulu, adakah kita dapat mengecapi Nikmat Islam? Allahu A’lam.

Langit itu kadangkalanya cerah, kekadang gelap, mendung, begitu juga dengan kehidupan, adakalanya jatuh, dan bangun kembali. Begitu juga aku, aku terlalu mahu meneruskan perjuangan Rasulullah, perjuangan Sahabat-Sahabat dan mereka yang terdahulu dalam menyebarkan Islam, dalam menabur Dakwah Islam di muka bumi Allah. Dan aku harus mempunyai kefahaman untuk saling mengingatkan, saling memberikan. Bantulah aku Ya Allah…

Aku sedang belajar. Dan terus selamanya masih belajar. Bantulah aku Ya Allah!

UIA, Gombak

3.13PM/22mac10/7RabiulAwal1431H

One thought on “Bagaikan Air!

  1. slm intan..awat x dpt contact awak ni..huuhu..tepon2 xde org angkat…anyway, selamat menjalani imtihan…dtg blk tak short sem?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s