Bumi Irsyadiah

Untukmu teman…

Ingat lagi kah dikau?

Pertama kali kita menjejakkan kaki di bumi Irsyadiah, dengan harapan yang satu, kerana ILMU. Menuntut ilmu agama dan dunia. Ketika itu, kau dan aku masih tidak mengenali sesiapa, masih kurang jelas arah untuk dituju, kita yang berlainan daerah, juga berlainan negeri berhimpun dibawah satu rumpun, dibawah satu bumbung, bersama langit Irsyadiah kita bernaung.

Hari demi hari kita lalui bersama, Irsyadiah yang kita sanjung menjadi tapak permulaan cita-cita. Mungkin juga cinta bagi sesetengahnya. Kita makin membesar mengikut peredaran masa, kita semakin matang dalam menghadapi hari yang mendatang. Kita sering tertawa saat jiwa masih rasa muda.

Masih ingatkah dikau?

Seawal pagi kita bingkas bangun, berebutkan tempat untuk membersihkan diri, lantas kita meluru bergegas ke surau, menunaikan solat berjemaah bersama Mak uteh. Saat itu, kita mungkin tidak memahami apa-apa, mungkin juga kita merasakan tiada pentingnya berjemaah didalam solat, dan hanya sekadar menuruti arahan.

Ketahuilah teman, aku kini merasakan nikmatnya waktu kita bersama berjemaah dahulu. Aku kini mengimpikan rapatan soff-soff yang menjadi kebiasaan kita dahulu. Aku juga mahu menggenggam erat tangan kalian berselawat memuji Rasulullah. aku masih mengimpikan kita bersama-sama berada didalam soff itu walaupun kita sudah berlainan biah, sudah berlainan tempat, sudah berbeza pendapat. Aku merindui saat itu.

Ingatkah dikau?

Pagi yang hening, embun-embun masih bersantai diatas helaian daun, ketika itu, kita melangkah keluar melalui ceruk-ceruk pokok pisang demi satu tujuan, pulang ke desa halaman. Peraturan sekolah membuatkan kita tekad, keluar mencari laluan ke destinasi tersendiri. Saat itu, dalam kerisauan, kita meredah lautan halangan, di kiri dan kanan ada pengawas yang memerhati, tapi kita masih terlepas dari awasan mereka, dan berjaya meloloskan diri pulang ke kampung halaman. Aku masih Tersenyum saat mengenangkan waktu itu.

Kini aku sedar, kita sememangnya sedang diawasi, sedang dalam pengawasan Ilahi, setiap ilmu yang dibekal dari bumi Irsyadiah bukan hanya perlu dihayati, tapi perlu diamalkan teman!. Jangan sekadar berinci-inci ketebalan buku yang telah dihadam, namun tiada pokok amal yang berbuah. Aku tahu, dan kita semua tahu, kita punya ilmu itu. Kita punya pengetahuan tentang halal dan haram, kita punya pemahaman dalam dosa dan pahala. Sungguh kita telah mengetahui itu.

Sungguh sahabat, aku merindui kalian, merindu tapak-tapak kaki jejak kita di bumi Irsyadiah. Biar tiada siapa pun tahu apa yang dialami kita disana, cukuplah kita memahami Perancangan Allah menempatkan kita disana suatu ketika dahulu. Sesungguhnya Allah mahu kita berada didalam acuan-NYA. Berada didalam pautan agama-NYA. Sentiasa mematuhi peraturan dan larangan-nYA. Bukan untuk siapa-siapa, tetapi untuk kebahagian kita di-SANA. Tempat yang abadi Teman.

Biarlah kita pernah mengenal erti kejahilan suatu ketika dahulu, biarlah kita pernah diulit dosa yang menggunung, asalkan kita tahu mana tempat untuk kembali dan kita berusaha merapati ALLAH didalam senang dan susah. Marilah kita bersama mengecapi nikmat bahagia yang sebenar-benarnya…

Sungguh. Aku merindui kalian!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s