Mistake

People sometimes make a big mistake,

and then they repent,

the most important thing is not to make the same mistake twice,

and hide that mistake in our hearts,

then, look forward to the future.

ask HIM for forgiveness with sincerity and firmness,

Inshaallah,

HE will forgive your mistakes.

🙂

Pentas Eksperimen

sungguh!

setiap hari yang kita lalui adalah pentas eksperimen. masa demi masa terus berlalu. usia semakin bertambah, pengalaman semakin luas. namun, bagaimanakah kita melaluinya terpulang kepada yang empunya diri. adakah bersendikan nafsu, harga diri, ilmu dan iman?.

dunia adalah pentas eksperimen, untuk menguji siapa dalam kalangan kita yang terbaik disisi-Nya. umpama bahan yang terhebat, akan bernilai dan dipandang ‘penciptanya’. begitulah kita manusia. makhluk.

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.(al-mulk :2)

hakikatnya kita sedang melalui ujian demi ujian untuk menghadapi fasa yang utama. fasa yang utama itulah ‘final trial’ buat kita adakah kita terpilih dalam kalangan yang benar-benar berjaya ataupun tidak.

kebijaksanaan adalah ujian.

kecantikan juga ujian.

kekayaan, kemiskinan, kelebihan, kekurangan juga adalah ujian.

ujian-ujian inilah yang akan kita hadapi selagi kita bergelar manusia. dan adakah kita benar-benar berjaya dan yang terbaik itu bergantung pada bagaimana kita mendepani fasa-fasa ujian. adakah dengan nafsu? atau dengan ilmu dan iman?.

Allahu akbar.

tidak sempurna

Saya cuba bersembang dengan dia, alhamdulillah, respon baik..

Saya berpesan pada dia dan diri sendiri,

manusia tidak sempurna, kadang-kala  gagal, kadang-kala buat kesalahan,

saya berpesan lagi,

manusia tidak sempurna, dan kita tidak dapat nak memuaskan hati semua orang dalam semua perkara,

dan apabila kita sedar bahawa kita juga tidak sempurna, dan tidak dapat memuaskan hati semua orang,dan tidak dapat memenuhi semua kehendak,

pasti, kita akan terima dengan tenang apabila hati kita yang tidak dipuaskan…

Jatuh dan Bangun

herm..

baru selesai habes baca satu buku, buku Novel Hulagu Khan saya khatamkan dalam masa dua hari. membaca, buat saya tak senang duduk, erm maksud saya, tak senang nak buat kerja lain. selalu saja ‘curi-curi’ masa untuk habeskan bacaan. antara waktunya adalah waktu tengah makan. hehe 🙂

Hulagu Khan, bagi sahabat-sahabat yang belum pernah mendengar namanya, ataupun, tidak jelas siapa orangnya, cukuplah saya katakan dia adalah ketua tentera Monggol yang menumpaskan Khilafah Bani Abbasiyyah di Baghdad. tanpa mengorbankan banyak nyawa tenteranya, dia berjaya menakhluk Baghdad dengan mudah.

bila fikir-fikirkan semula, sebab utama kejatuhan Khilafah Islamiyyah bukanlah disebabkan serangan dan keganasan tentera kafir semata, tapi hakikatnya, penyebab utamanya adalah masalah dalaman dalam sesebuah khilafah, juga perpecahan dan tiada kesatuan.

ingatkah kita apabila Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah tiga doa untuk keselamatan umatnya. dua daripadanya diterima dan dikabulkan oleh Allah iaitu keselamatan untuk umatnya dari Musim susah yang berpanjangan dan dari bencana alam seperti banjir besar yang menimpa umat Nabi Nuh.

hanya satu sahaja doa Rasulullah yang tidak dimakbulkan oleh Allah, iaitu keselamatan umatnya dari permusuhan dan peperangan sesama saudara seIslam.

Allahu Akbar,

kalau kita singkap semula sejarah silam, bagaimana khilafah Islamiyyah bangun dan jatuh, bagaimana persengketaan yang berlaku sesama saudara Islam, semuanya ada kaitan dengan kesatuan dan perpaduan.

Baghdad tumbang kerana adanya persengketaan dan dendam dalam kalangan menterinya. Namun tenteranya bangun kembali di Ain Jalut disebabkan kesatuan dan perpaduan yang tercipta.

kerana mereka disatukan dengan Kalimah Tauhid, La ilaha Illallah..

Dalam konteks kehidupan sekarang, kebanyakan yang namanya Islam tidak lagi bersatu, masing-masing mengejar dunia sendiri, disebabkan itu ramai tertindas dan terseksa.

yang lemah terus terlantar, yang kaya dan kuat terus bersandar, bersandar dengan kemewahannya. yang namanya Muslim itu sekadar tinggal nama. kesatuan tiada.

masing-masing bersifat ananiyyah atau nafsi-nafsi. lebih jelas dikatakan individualistik semakin bermaharajalela tanpa kita sedari. manakah perginya ikatan persaudaraan?

Allahu akbar,

saya teremosi pula dalam bab ini. mana taknya, apabila menutup sahaja buku novel yang telah saya khatam, terus menitis air mata. nostalgia kegemilangan Baghdad dan kerajaan Islam tinggal kenangan.

Hulagu Khan dengan keazamannya berjaya menumpaskan Baghdad yang telah berdiri selama 50o tahun. orang tua dan pemuda dibunuh, kanak-kanak dilambung dan ditujah dengan tombak, wanita diperkosa dengan rakusnya. kekejaman tentera Monggol yang dipimpin Hulagu Khan digeruni ramai. yang lemah, terus berpaling tadah, dan yang punya semangat terus mahu berjihad.

tengok, saya emosi lagi..

herm, sampai saya terfikir, kalaulah Hidayah itu sampai ke sanubari Hulagu Khan, Islam pasti akan bertambah kuat.

tapi, saya tersedar kembali, yang hidayah itu hanyalah Milik mutlak Allah. tidak semua yang kafir mendapat cahaya hidayah sebagaimana yang diterima Umar Al-Khattab, begitu juga dengan Ikrimah dan Sahabat-sahabat Nabi yang lain.

sampai ke hujung nyawa, Hulagu Khan tetap tidak menukar agamanya, walau dia tahu, Islam pasti akan menang kerana Tuhannya memeliharanya.

lalu, dia menutur “aku tidak akan berjaya menawan Mekah dan Madinah kerana ia dijaga oleh Tuhan mereka yang tidak boleh dikalahkan dengan sesiapa.”

dia sedar hakikat itu, tetapi, ternyata Hidayah Allah tidak menjengah di hatinya. lalu, matilah dia dalam kekafiran.

Allahu akbar,

jatuh bangun Islam itu sememangnya ada kaitan dengan kita, umatnya. Islam tertegak atas kalimah Tauhid, mengesakan Allah dan bersatu padu dalam meninggikan kalimah Ilahiyyah.

jika bukan kita yang merapatkan perpaduan, menyebarkan kebenaran, melaksanakan tuntutan dengan kesabaran, mengajak kepada kebenaran,  menghindar dari kesesatan, siapa lagi?

Subhanallah,

bukan semua orang bertuah kerana memiliki nikmat Islam dan Iman, bagi kita yang secara ‘automatik‘ telah Islam, hargailah setiap nafas dengan hidup berpandukan Islam. moga Allah beri kemenangan kepada kita Dunia dan Akhirat.

amin..

p’/s : maaf, teremosi pula.. 🙂

*Baghdad : Pusat utama pemerintahan Khilafah Bani Abbassiyyah.

*Ain Jalut : Wilayah berdekatan dengan Hittin dan Yarmouk.

DIAM tak bererti KALAH

Ada yang tidak dapat menyesuaikan diri, dan ada juga yang diminta menyesuaikan diri. kelebihan dan keistimewaan mula terkubur sementara, yang jelas hanyalah butir-butir kelemahan yang kian lama kian bercambah.

Percanggahan pendapat sering berlaku sehingga menyebabkan ketidakpuashatian semakin membibit  dalam hati. Persoalan dibalas dengan jawapan, dan jawapan dibalas dengan sindiran. pendapat tidak lagi dihiraukan, yang tinggal hanyalah perbalahan, tanpa ada penyelesaian, ketidaksefahaman semakin berpanjangan.

Kehidupan dalam bermasyarakat sememangnya mencabar, setiap individu memiliki karakter yang berbeza-beza. begitu juga cabarannya dalam berorganisasi. pasti tak lepas dari onak dan duri.

Teringat pula waktu persekolahan, darah muda, cepat sahaja mahu melenting. diusik begini terlatah, disindir begitu, kata-kata hampir tergadah. waktu berbalah dengan rakan setingkatan, darah mula menggelegak. akibat satu perkataan yang keluar dari mulutnya, saya mula menjawab dengan jawapan bertubi. semuanya hampir negatif. sifar!

“ala, kau tu pengawas “balachi”! tunduk je dengar telunjuk cikgu! BALACHI!”

balachi sememangnya sinonim bagi kami pengawas yang menjadi mata dan telinga mua’llim di asrama.  kata-kata begini, terus berdesing ke telinga. lalu mengalir dalam aliran darah, lalu mula menyirap!

“sekurang-kurangnya aku pengawas, pegang amanah dan kepercayaan cikgu. kau apa ada? buat kes je.”

perbalahan semakin menjadi, mujur sahaja saya masih dalam keadaan sedar.

tak patut kan?

sampai sekarang saya menyesali kata-kata ini. saya sedar, seharusnya Api tidak sepatutnya disiram lagi dengan minyak. lagi akan memarakkan ia.

yang diperlukan bagi memadamkan api adalah air. iaitu DIAM.

Imam Shafie Rahimahullah dengan lembutnya menutur bait-bait Syair, tentang jawapan adalah kunci kepada keburukan.

قالوا سكتَّ وقد خوصمكَ قُلتُ لهم ، إنَّ الجوابَ لِبابِ الشَّرِّ مفتاحُ

والصمتُ عن جاهل أو أحمقَ شرفٌ ، وفيه أيضا لصونِ العِرضِ إصلاحُ

mafhumnya;

“mereka telah berkata kepadaku, ‘mengapakah kau masih diam sedangkan engkau disakiti’, maka aku pun berkata kepada mereka, sesungguhnya JAWAPAN itu adalah kunci pintu KEBURUKAN. dan DIAM ke atas orang yang JAHIL dan lebih daripada itu adalah lebih MULIA, dan padanya juga dapat melindungi MARUAH diri.

subhanallah,

tidak semestinya diam bererti kita kalah, malah kita telah menang dalam mengelakkan perbalahan berpanjangan. dan, tidak semestinya sindiran perlu dibalas dengan sindiran, kemarahan perlu dimarakkan dengan kemarahan, tetapi kawallah ia dengan kesabaran.

sememangnya kesabaran itu adalah sebenar-benar sabar yang dituntut, kesabaran apabila menahan kemarahan.

lantas, jika kata-kata kesat, dibalas pula dengan kata-kata yang buruk, adakah akan selesai selepas itu?

satu-satunya jalan adalah dengan berdiam diri. biasalah, manusia tak akan terlepas dari kesilapan kata-kata mahupun perbuatan. apabila keadaan mulai reda, barulah mulakan perbincangan semula.

itulah seharusnya yang saya patut lakukan dahulu. namun, yang pahit juga penting dalam kehidupan, kerana yang pahit itu juga pengalaman. belajar dari pengalaman pasti akan sedikit sebanyak mendewasakan kita.

ingat,

diam tak bererti kita kalah.

dan dengan jawapan tak semestinya kita menang.

menangilah ia dengan kesabaran.

selamat beramal! 🙂

Wonderpets antara realiti dan fantasi

Untuk sebulan cuti semester, hampir setiap setiap hari  saya tak miss tengok wonderpets. Mana taknya, jam 2.30 petang, tv9 dah di ‘booking’ adik saya. Baru berusia dua tahun dah pandai nyanyi “apa yang penting, KERJASAMA!!”

Tak mengapa, yang positif boleh diterima.

Serius, sejujurnya saya suka melihat ‘sesuatu’ disebalik penceritaan Wonderpets. Bermula dari Lini (Watak hamster – wonderpets) yang menerima panggilan, sehinggalah Ming-Ming (Watak itik – wonderpets) menutur “ini serius”, semuanya bagi saya mempunyai mesej tertentu yang sebenarnya wajar untuk dipertontonkan kepada kanak-kanak.

Walau siapa dan apa sekalipun, jika ada yang meminta pertolongan, pasti mereka (wonderpets) akan membantu. Tak kiralah, berlainan spesies atau sama, mereka tetap akan mencuba walau tahu itu sememangnya mustahil, macam membersihkan gigi crocodile (buaya), sehinggalah menerbangkan anak burung dan mengajar anak angsa menari.

Bagaimana si hamster mengajar anak angsa itu menari, kita letakkan kamudian. Yang penting, satu daripada mesej-mesej yang disampaikan adalah Menjadikan suatu yang mustahil kepada tidak mustahil.

‘turning impossibilities into possibilities’

Menjadikan sesuatu itu mustahil sememangnya amat mudah. Hanya dengan berkata TIDAK BOLEH, TIDAK MAMPU, ianya telah menjadikan sesuatu itu mustahil untuk dilakukan. Tetapi menjadikan sesuatu yang mustahil itu kepada yang tidak mustahil adalah sesuatu yang memerlukan keazaman dan keteguhan hati.

Simulasinya, bagaimana menukar keterbiasaan yang negatif kepada kebiasaan yang positif.

Bagi mereka yang gemar tidur lewat hingga 3 ke 4 pagi, kemudian bangun pukul 9 ke 11 pagi, tentu sukar sekali untuk memadam habit masa tidur yang sebegitu. Namun, pernahkah sekali mencuba? Walau disangka tidak akan berjaya sekalipun, namun percubaan itu adalah satu proses kejayaan.

Dahulu, saya memang dilanda dilema, dilema tentang pemilihan pre-degree kedua, maksud saya, MINOR degree. Siang malam kepala pusing, memikirkan itu dan ini.

Apa yang saya sedar, saya kerap berkata ‘aku tidak mampu’, ‘ aku tidak pandai’ untuk mengambil minor dalam history (Sejarah). Hakikatnya, saya telah menjadikan minat saya sebagai satu perkara yang mustahil untuk dilakukan. Bukan saya tidak mahu, tetapi saya menidakkan kemampuan saya.

Lalu yang keluar dari mulut saya hanyalah perkataan tidak dan bukan boleh.

Namun, Allah lebih tahu jalan mana yang patut saya dilorongkan. Alhamdulillah, saya mula beransur berani sedikit demi sedikit, dan subjek sejarah sudah menjadi makanan harian saya kini. Saya mula belajar apa erti mahu daripada perkataan tidak mampu.

Saya mula menjadikan ketidakmampuan saya sebagai turning point untuk saya mengoreksi diri. Turning point untuk berbalik semula kepada kemampuan saya.

Dan sebenarnya, kemahuan kita yang akan mengatasi ketidakmampuan kita. Dan selebihnya, sebagai hamba, kita hanya mampu berdoa dan terus berdoa, supaya Allah meminjamkan kita kekuatan, dan melorongkan kita dalam jalan yang benar.

Dan,

Wonderpets, antara realiti dan fantasi, hanya dapat kita tentukan jika kita sudah mengaplikasi.

Selamat mencuba!

belajar dari kelukaan

Terluka dan melukai,

Saya pernah melaluinya, dan saya pernah melakukannya. Hakikatnya, bagi manusia yang sudah melepasi usia 20an, pasti pernah merasai hakikat terluka dan melukai. Mungkin, anggapan saya. setujukah?

Mungkin kerana melalui zon pra-matang, emosi dan fikiran tak selari. Apa yang difikir, dan apa yang dirasa tak disetujui emosi. Saat itu, pedih yang amat.

Hakikatnya, apabila kita melukai, yang tinggal pada diri kita adalah kita sendiri yang akan terluka. Kerana kita telah mencalari fitrah, dan kita telah berpaling dari fitrah. Fitrah menyayangi dan menjagai sentiasa.

Saya mula mengeluh, bersendiri mencari diri, mula melarikan diri dari kesilapan dan takut pula mahu membetulkannya. Hakikatnya, kehidupan seakan berhenti seketika. Jam berputar tak mengikut masa. Saya termuhasabah semula. Jika tiada apa yang dimula, tiada apa yang akan berubah.

Saya mula sedar, apa yang telah berlaku tidak boleh diputar kembali. Umpama, arah jam tidak akan berputar terbalik! Begitu juga kehidupan. Your future is depends on what step you’re taking. Itu benar. Kita tidak boleh memutar masa, diluar kuasa kita untuk membetulkan kesilapan di masa lampau. Tetapi apa yang kita mampu adalah membina masa hadapan dengan membina kembali semua perhubungan yang telah kita calari, dan membina kembali kepercayaan yang telah diroboh musnah, mungkin tidak seratus peratus berjaya dibaik pulih, namun, selagi kita tidak cuba melangkah setapak, nothing can change.

Dan masa hadapan itulah yang kita perlu corak menjadi sesuatu yang tidak mengulang sejarah perit dan buruk itu. Hakikatnya, terluka dan melukai itu menjadi satu batasan norma kehidupan untuk kita terus mencorak kehidupan yang lebih disinari cahaya dan keberkatan.

Hakikatnya, Allah lebih mengetahui apa yang dirancang dan diaturkan.

Belajarlah dari kelukaan itu. Pasti akan mendapat ibrah bagi yang berfikir. Inshaallah.