Jatuh dan Bangun

herm..

baru selesai habes baca satu buku, buku Novel Hulagu Khan saya khatamkan dalam masa dua hari. membaca, buat saya tak senang duduk, erm maksud saya, tak senang nak buat kerja lain. selalu saja ‘curi-curi’ masa untuk habeskan bacaan. antara waktunya adalah waktu tengah makan. hehe 🙂

Hulagu Khan, bagi sahabat-sahabat yang belum pernah mendengar namanya, ataupun, tidak jelas siapa orangnya, cukuplah saya katakan dia adalah ketua tentera Monggol yang menumpaskan Khilafah Bani Abbasiyyah di Baghdad. tanpa mengorbankan banyak nyawa tenteranya, dia berjaya menakhluk Baghdad dengan mudah.

bila fikir-fikirkan semula, sebab utama kejatuhan Khilafah Islamiyyah bukanlah disebabkan serangan dan keganasan tentera kafir semata, tapi hakikatnya, penyebab utamanya adalah masalah dalaman dalam sesebuah khilafah, juga perpecahan dan tiada kesatuan.

ingatkah kita apabila Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah tiga doa untuk keselamatan umatnya. dua daripadanya diterima dan dikabulkan oleh Allah iaitu keselamatan untuk umatnya dari Musim susah yang berpanjangan dan dari bencana alam seperti banjir besar yang menimpa umat Nabi Nuh.

hanya satu sahaja doa Rasulullah yang tidak dimakbulkan oleh Allah, iaitu keselamatan umatnya dari permusuhan dan peperangan sesama saudara seIslam.

Allahu Akbar,

kalau kita singkap semula sejarah silam, bagaimana khilafah Islamiyyah bangun dan jatuh, bagaimana persengketaan yang berlaku sesama saudara Islam, semuanya ada kaitan dengan kesatuan dan perpaduan.

Baghdad tumbang kerana adanya persengketaan dan dendam dalam kalangan menterinya. Namun tenteranya bangun kembali di Ain Jalut disebabkan kesatuan dan perpaduan yang tercipta.

kerana mereka disatukan dengan Kalimah Tauhid, La ilaha Illallah..

Dalam konteks kehidupan sekarang, kebanyakan yang namanya Islam tidak lagi bersatu, masing-masing mengejar dunia sendiri, disebabkan itu ramai tertindas dan terseksa.

yang lemah terus terlantar, yang kaya dan kuat terus bersandar, bersandar dengan kemewahannya. yang namanya Muslim itu sekadar tinggal nama. kesatuan tiada.

masing-masing bersifat ananiyyah atau nafsi-nafsi. lebih jelas dikatakan individualistik semakin bermaharajalela tanpa kita sedari. manakah perginya ikatan persaudaraan?

Allahu akbar,

saya teremosi pula dalam bab ini. mana taknya, apabila menutup sahaja buku novel yang telah saya khatam, terus menitis air mata. nostalgia kegemilangan Baghdad dan kerajaan Islam tinggal kenangan.

Hulagu Khan dengan keazamannya berjaya menumpaskan Baghdad yang telah berdiri selama 50o tahun. orang tua dan pemuda dibunuh, kanak-kanak dilambung dan ditujah dengan tombak, wanita diperkosa dengan rakusnya. kekejaman tentera Monggol yang dipimpin Hulagu Khan digeruni ramai. yang lemah, terus berpaling tadah, dan yang punya semangat terus mahu berjihad.

tengok, saya emosi lagi..

herm, sampai saya terfikir, kalaulah Hidayah itu sampai ke sanubari Hulagu Khan, Islam pasti akan bertambah kuat.

tapi, saya tersedar kembali, yang hidayah itu hanyalah Milik mutlak Allah. tidak semua yang kafir mendapat cahaya hidayah sebagaimana yang diterima Umar Al-Khattab, begitu juga dengan Ikrimah dan Sahabat-sahabat Nabi yang lain.

sampai ke hujung nyawa, Hulagu Khan tetap tidak menukar agamanya, walau dia tahu, Islam pasti akan menang kerana Tuhannya memeliharanya.

lalu, dia menutur “aku tidak akan berjaya menawan Mekah dan Madinah kerana ia dijaga oleh Tuhan mereka yang tidak boleh dikalahkan dengan sesiapa.”

dia sedar hakikat itu, tetapi, ternyata Hidayah Allah tidak menjengah di hatinya. lalu, matilah dia dalam kekafiran.

Allahu akbar,

jatuh bangun Islam itu sememangnya ada kaitan dengan kita, umatnya. Islam tertegak atas kalimah Tauhid, mengesakan Allah dan bersatu padu dalam meninggikan kalimah Ilahiyyah.

jika bukan kita yang merapatkan perpaduan, menyebarkan kebenaran, melaksanakan tuntutan dengan kesabaran, mengajak kepada kebenaran,  menghindar dari kesesatan, siapa lagi?

Subhanallah,

bukan semua orang bertuah kerana memiliki nikmat Islam dan Iman, bagi kita yang secara ‘automatik‘ telah Islam, hargailah setiap nafas dengan hidup berpandukan Islam. moga Allah beri kemenangan kepada kita Dunia dan Akhirat.

amin..

p’/s : maaf, teremosi pula.. 🙂

*Baghdad : Pusat utama pemerintahan Khilafah Bani Abbassiyyah.

*Ain Jalut : Wilayah berdekatan dengan Hittin dan Yarmouk.

solat jangan bermusim.

 

“siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu selama dia sudah cukup usianya (baligh),  sila duduk..”

Sultan Muhammad Al-Fateh bersuara, memandang satu demi satu wajah para tenteranya meminta jawapan dari mereka untuk dipilihnya sebagai Imam untuk mengimami solat Jumaat di Masjid Aya Sophia. Aya Sophia, yang dahulunya adalah sebuah gereja yang tersergam di tengah kota Konstantinople, kini berubah wajah menjadi sebuah Masjid selepas kemenangan Islam bertapak di daerah kebanggaan kerajaan Rom.

“pilihlah dan carilah orang yang lebih bertaqa antara kamu bagi dijadikan imam.” nasihat Syeikh Syamsudin al-Wali diambil kira. Baginda masih mencari jalan bagi memilih Imam.

Tentera-tenteranya masih tegap berdiri. tandanya, solat yang lima belum pernah ditinggalkan.

“siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk.”

baginda masih bersuara.

Hampir separuh antara tenteranya tunduk duduk. penyelesaian masih belum didapati, Imam pertama di Masjid Aya Sophia masih belum ‘dijumpai’.

“siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajud, sila duduk.” soalan seterusnya, dan mungkin soalan terakhir diutarakan baginda sultan.

semua yang berdiri, telah duduk kecuali seorang. beliau adalah Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. benar, semenjak dari akil baligh baginda tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat tahajud.

“Tuanku yang paling layak menjadi imam.” Syeikh Syamsudin al-Wali bersuara. keputusan telah dicapai.

hari itu, hari pertama tertegaknya ibadah solat Jumaat di Masjid Aya Sophia. hasil dari didikan IQ, EQ, dan SQ, Islam telah berjaya menapak di daerah yang dibanggakan kerajaan Rom. subhanallah.

***

SOLAT JANGAN BERMUSIM.

ternyata SOLAT yang menjadi salah satu ukuran KEJAYAAN Islam bertapak di kota Konstantinople. sepuluh kali percubaan menakhluki kota Konstantinople tidak berjaya, hanya yang ke-sebelas mendapat keizinan Allah bagi menakhluki kota bersejarah itu. kerana apa? satu sebabnya adalah kerana SQSpiritual.

bayangkan sahaja hampir puluhan ribu tentera Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat sunat rawatib, dan kesemuanya CEMERLANG dalam melaksanakan ibadah solat fardhu, memang pantas dan selayaknya kejayaan yang disebutkan dalam Hadith Baginda S.A.W menjadi milik Sultan Muhammad  dan tenteranya. mereka bukan hanya solat ketika musim berperang, tetapi semenjak mereka akil baligh, solat menjadi satu tiang dari tiang-tiang agama yang membina jasad dan roh mereka.

kerana itu, KEJAYAAN yang diizinkan Allah menjadi MILIK mereka.

Musim peperiksaan, musim pelajar bertungkus lumus ‘berperang’ menghafal dan mengingati nota-nota pelajaran. dan musim ini juga yang telah membuatkan pelajar-pelajar ‘mula’ sedar akan kepentingan solat dan mula bertawajuh kepada Allah. itu sememangnya baik dan amat dituntut.

namun, adakah solat sekadar mengikut musim?

tidak, ibadah itu tidak bermusim, meskipun kita benar-benar berjaya dengan cemerlang atas dasar solat yang bermusim itu, namun apakah ertinya solat kita di mata Allah. dan apa pula ertinya kejayaan yang kita cari?.

Solat itu adalah penghubung antara Hamba dan Tuhannya. tunaikanlah solat jangan mengira ‘musim’, Istiqomah dan berterusanlah dalam membina kecemerlangan yang engkau impi.

tunaikanlah ibadah seikhlas hati. nescaya kejayaan dan kecemerlangan akan mengiringi.

bagi yang tidak pernah, atau belum pernah menunaikan sembahyang, mulakanlah bukan kerana apa, tetapi kerana Allah semata, sesungguhnya Allah melihat pada Usaha mu.  bagi yang bersembahyang mengikut musim, berterusanlah dalam melakukan ibadah solat, kerana itu salah satu caranya kita mempersembahkan kehambaan kita pada al-Kholik. jika tidak kita bersembahyang dan beribadah, dengan apakah lagi kita mahu mempersembahkan janji kita pada Allah? dan untuk apakah kita hidup di dunia ini?.

moga Allah menjadi tujuan kita semata, moga kejayaan dan kecemerlangan akhirat menjadi misi utama.

Wallahu Waliyyut Taufiq.

SALAM KECEMERLANGAN LUARAN DAN DALAMAN 🙂

‘marilah menuju kejayaan’

jangan calari cinta

cinta

Cinta itu letaknya bukan pada harta, bukan jua pada kuasa, tidak pula pada rupa. Tapi letaknya pada hati, jika kaya hati itu dengan cinta, maka tiada apa yang bisa mematahkan kasih itu walau dengan segunung intan permata.

***

Fatimah tertunduk diam. Umar Abdul Aziz memulakan percakapan. Khalifah yang selama ini sedar bahawa kehidupan Sang isteri mulai berubah. Tidak lagi diserikan dengan khadam yang ramai, tidak pula didamping emas dan zamrud, dan hidup mereka seperti orang biasa, malah lebih biasa dari yang biasa.

Umar sedar, dirinya seharusnya lebih miskin dari yang miskin, lebih papa dari yang papa, masakan seorang khalifah duduk bersenang lenang diatas timbunan emas sedangkan rakyat sendiri terbiar melayari bahtera kemiskinan.

Tidak, Umar tidak akan sesekali mengambil sesuatu yang bukan dari haknya. Beliau tidak akan sesekali mencalari amanah Allah yang terletak di atas bahunya.

Lembut tutur diatur, supaya tiada salah faham antara mereka.

“Wahai isteriku Fatimah, kamu adalah anak kepada Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Kamu mewarisi harta kekayaan yang banyak daripada ayahmu dan kaum kerabatmu. Adakah kamu tahu bahawa semua harta itu dirampas oleh ayahnya daripada rakyat ketika beliau menjadi khalifah?”

Fatimah masih tertunduk..

“saya tahu wahai suamiku…”

Nada suara lembut kelontaran.

“kamu pilih antara dua, samaada melepaskan diriku dan kekal bersama harta itu ataupun melepaskan harta itu dan kekal bersamaku.”

Soalan Sang Khalifah benar-benar mengusik naluri wanita Fatimah. Lantas, jawapan diberikan tanpa ragu..

“saya memilih untuk kekal bersamamu wahai suamiku. Harta itu tidaklah kekal dan tidaklah boleh menjadi bekalan amalanku. Yang wajar saya turuti adalah Khalifah yang adil lagi memegang amanah. Moga saya menjadi isteri yang sentiasa berada disisimu wahai suamiku..”

Segala harta, tanah-tanah, emas dan zamrud, intan permata kesemuanya diserahkan bagi diwakafkan ke Baitulmal. Kesemuanya, tiada satu pun yang tertinggal. Kehidupan mereka menjadi lebih biasa dari orang biasa, sedangkan mereka adalah keluarga Khalifah.

***

Amanah itu jalannya seiring dengan cinta kepada Allah.

Jika cinta kepada Allah, amanah Allah akan dijunjung.

Maka, dirinya terpelihara, keluarganya dijaga..

Dari panasnya bakaran api neraka.

Subhanallah, sedangkan walau sebiji epal pun milik Baitulmal, beliau tidak akan membiarkan ia masuk ke dalam perut anaknya…

Moga kita meneladani sifatnya.

p/s : jangan kerana harta, cinta jadi mangsa.

Keadilan seorang Khalifah [1]

Pada suatu malam, seorang jiran Khalifah Umar Abdul Aziz datang bertandang dan pada ketika itu Umar sedang melakukan tugas-tugas khalifah dengan menggunakan pelita kerajaan. lalu, Umar pun memadamkan pelita itu dan menggunakan pelita yang lain…

lalu berkatalah Jiran Umar Abdul Aziz,

Jiran: “wahai khalifah,mengapa tuan padamkan pelita yang tadi dan menyalakan pelita yang lagi satu”

Khalifah Umar: “Pelita yang tadi kepunyaan kerajaan dan saya hanya gunakan apabila menjalankan urusan rasmi. pelita yang baru dipasangkan ini kepunyaan peribadi dan keluargaku.saya tidak boleh gunakan pelita kerajaan bagi urusan peribadi,kerana itu amanah seorang khalifah.”

lalu, Jiran Khalifah bertanya,

Jiran : “Wahai Khalifah, tuan seorang khalifah yang memegang amanah. bagaimana tuan dapat menjaga amanah itu?”

Umar : “Tuhan melihat apa yang saya lakukan, Malaikat sentiasa mencatat semua amalan saya. takutkan neraka jahannam itu membuatkan saya sangat takut hendak melakukan penyelewangan….”

MashaAllah…

pemimpin yang hebat, melahirkan rakyat yang hebat..
pemimpin yang bertaqwa, membuahkan rakyat yang bertaqwa…
subhanallah.
Umar Abdul Aziz, mengenyangkan perut rakyatnya melebihi perutnya sendiri!


Demi suatu hari Yang telah Dijanji!

Tubuh kecil itu tidak bersalah

sehingga dirinya dibuang bagaikan sampah

apakah ertinya ceritera cinta dan kisah

jika nafsu manusia bertukar menjadi serakah



Tubuh kecil itu tidak berdosa

seringkali jua menanggung hiba

di buang ibu di campak bapa

sehingga terbiar di lorong derita


Tubuh kecil itu tidak mengerti

apakah dia layak diperlaku sebegitu erti

bukankah dia hasil cinta dan pekerti

dari Ibu bapa kandungnya dan bukannya TIRI!


Tubuh kecil itu meminta belas

cinta dan kasih yang dahulunya berbalas

bukannya dia mengharap culas

tetapi hanya memohon sayang yang sudah dirampas!

Zaman Jahiliyah telah berabad ditinggalkan lama

bayi perempuan di tanam hidup didalam pusara

demi menghindarkan noda dan juga cela

bayi yang tidak bersalah menjadi mangsa

namun kini,

Jahiliyyah itu tidak mengenal masa

bayi lelaki atau perempuan tiada beza

di campak dibuang secara percuma

bukankah itu bersama perbuatan jahiliyyah mempunyai beza?

Wahai Ibu Wahai Bapa

didiklah anak-anakmu mengenal pencipta

mengerti antara kepalsuan cinta dan noda

supaya tidak dilahirkan lagi bayi yang tidak berdosa!

Wahai bakal Ibu dan juga Bapa

persiapkanlah dirimu dengan bekal Iman dan Ilmu di dada

agar anak-anakmu kelak tidak terbiar dan akan terjaga

demi mempertahankan nasib generasi pembela Agama

Wahai Insan yang menghampiri dosa

dalam tidak sedar mahupun jaga

hindarilah noda jauhilah zina

ketahuilah

masa kita didunia hanya tinggal sedetik cuma…


Naluri kecilku merintih sedih, setiap hari bilangan bayi dibuang, ditinggalkan, dicampak, semakin bertambah. adakah kita hanya mampu melihat dan sekadar mengira bilangan bayi sahaja? mari kita sama-sama sematkan Agama dari golongan kecil mahupun dewasa, baik mahasiswa mahupun insan biasa, ilmu agama yang ada jangan sesekali hanya ditinggalkan dan dikunci didalam kotak minda, keluarkan ia, bentuklah ilmu itu agar berguna buat ummah. kita pewaris generasi Agama. kita pencorak generasi masa hadapan. aku merayu, kita sama-sama berusaha mengislahkan masyarakat dengan Minda Islam, mencorak minda masyarakat mengenal pencipta, mengenal perjuangan Anbiya’, memahami dan menghayati cara Hidup Islam yang sebenar. biar sedikit-sedikit, namun yang sedikit tetapi berterusan itu yang Allah Redha, biar sekadar mengenalkan mereka pada Alif, baa, taa, biar sekadar hanya mengajar Iqra’, biar sekadar memakai tudung dan menutupkan aurat kanak-kanak. kalau setiap seorang melakukan yang sedikit, jika seribu orang, bagaimanakah hasilnya?

kita sekarang di arena zaman yang menentang Musuh ALLAH yang bukan bermain dengan senjata, bukan juga dengan cemuhan dan kata, tetapi dengan pemikiran dan Minda. pemikiran dijajah sedikit demi sedikit dengan gaya hidup Yahudi, mereka menjajah pemikiran masyarakat kita dari pelbagai bentuk serangan. bayangkanlah, seluruh satelit di cakerawala dikuasai oleh golongan Musuh Allah,  multimedia, elektronik, hiburan, semuanya dibawah pengawasan mereka, dibawah kawalan mereka. jangan kita mudah Alpa, jangan mudah leka, kita sedang berada di akhir zaman, di akhir zaman yang menghampiri Hari yang dijanjikan. kalau dahulu, Baginda S.A.W sudah memberi isyarat bahawa umatnya sedang di akhir zaman, ini lagikan kita yang sudah berabad lama jauh dari zaman Rasulullah. masa kita semakin suntuk, bangunlah rakan, bangunlah teman, bangunlah insan, jangan tertipu dengan mainan dunia, jangan terpedaya dengan godaan dunia. jangan. jangan. jangan. dan aku juga. aku juga sedang berusaha.


p/s : setiap hari, bayi dibuang dan tidak terbela. satu petanda bahawa manusia dan binatang sudah tiada beza.  mungkinkah masih ada hari Esok? Wallahu A’lam. persiapkan diri, demi suatu Hari yang telah di janji.





Bagaikan Air!

Petang yang sunyi, aku kira semuanya sedang menelaah pelajaran. Aku bingkas bangun dari meja, menenyeh-nenyeh mata yang seakan berair, lantas menutup kitab Adab yang sekian lama terbuka. Minta dikuatkan ingatan dan kefahaman. Semua insan ada daya kefahaman, ada daya ingatan, jika ada yang mengingatkan, jika ada yang menyeru. DAKWAH! Aku kira itu satu perkataan yang cukup untuk menggambarkan kefahaman dan peringatan. DAIE’ dia faham dan dia mengingatkan.

Jendela ku kuakkan biar luas permandangan, memerhatikan alam yang terbentang luas itu kesukaanku. Aku kira sebagai wasilah untuk menyucikan mata dan menyucikan hati. Ada seekor burung,  menjengah dan bertenggek diatas jendela, selalu juga aku perhatikan, tetapi tidak aku menghalaunya, lalu aku  mengujar; “wahai burung, aku cemburukan kau, kau pasti selalu mengingati Tuhanmu, Tuhan Kita”. Lalu burung itu berlalu pergi menjengah rakannya yang memanggil pergi, aku fikir, mungkin menyerunya ke arah kebaikan juga. ‘Kau lebih istimewa, kerana ALLAH melebihkan manusia sebagai Khalifah, sekali kau menyeru manusia ke arah kebaikan, pahala Allah itu tidak terkira nilainya buatmu…’

Ya. Aku mengangguk faham.

Aku tergambar bagaimana teguhnya Umar menyampaikan agamanya, agama Islam. ketika dia memasuki Palestin untuk menakhluki negeri itu, beliau bertemu dengan seorang nenek yang sudah sangat tua. Begitu lanjut usia nenek itu sehingga dikisahkan kulit keriputnya menutupi kedua kelopak matanya. Ketika Umar mengajak dan menyerunya kepada Islam, nenek itu membuka kedua matanya dan bertanya hairan mengapa Khalifah itu tetap berharap dirinya masuk Islam. apa untungnya pada Umar? Khalifah Umar lantas menjawab sambil menengadahkan kedua tangannya, “Ya Allah SWT, saksikanlah, aku telah menyampaikan Islam.” Lalu, Umar berlalu pergi meninggalkan nenek itu.

Umar begitu teguh menyampaikan Islam. tapi aku?

Islam itu ibarat air yang harus terus menerus mengalir, mengalir bersama Dakwah dengan keteguhan dan ketabahan. Sebagaimana telah mengalirnya Islam melalui peperangan Badar. 313 orang Sahabat yang menyamai bilangan Rasul bergerak ke hadapan menentang 1000 orang tentera musyrikin tanpa gentar, tanpa ada ketakutan. Betapa peperangan Badar amat penting bagi Islam disisi Rasulullah dan Sahabatnya sehinggakan Baginda S.A.W telah berdoa kepada ALLAH; “Wahai ALLAH, Kalau pasukan (kaum Muslimin) ini binasa hari ini, Engkau tidak akan disembah lagi (oleh manusia). Wahai Allah, Jika Engkau mengkehendaki, engkau tidak disembah lagi selepas ini.”

Badar,  merupakan survival, cabaran dalam memastikan Islam tetap mengalir dimuka bumi Allah ini, Pengorbanan Rasulullah dan Sahabat dalam peperangan ini memberikan ruang kepada Islam untuk terus berkembang sehingga membolehkan kita yang Jauhnya beribu batu dari medan pertempuran turut sama mengecapi nikmat Islam. sekiranya Badar menjadi titik akhir untuk Islam, adakah kita sekarang mengecapi Nikmat Islam?. Syukur lah!

Islam terus menerus mengalir dibawah penguasaan Khalifah ar-Rasyidin meskipun seluruh Ummah menangisi pemergian Rasulullah yang tercinta. Dari Khalifah Abu Bakar, kepada Umar, Uthman, Ali R.A, Islam tersebar ke segenap penjuru dunia, biarpun kedua tenaga penguasaan terbesar didunia Rom dan Parsi juga telah berjaya dialirkan arus Islam kedalamnya. Sungguh! Kita pernah menguasai dua per tiga dunia!

Zaman berganti zaman, Era, berganti Era, Kerajaan berganti kerajaan, Dari Bani Umaiyah di damaskus, berterusan menembusi kerajaan Bani Abbasiah di Baghdad, Islam tetap teguh mengalir didalam jiwa Umatnya. Biarpun perpecahan demi perpecahan melanda kerajaan-kerajaan Islam Idrisi, Aghlabi, Tuluni, Ikhdisi, Hamdani hingga ke kerajaan fatimiyyah, islam masih teguh dengan penjagaan ALLAH biarpun sedikit perpecahan. Islam terus menerus berkembang semula sekitar 1800 M, melalui pemerintahan Kerajaan Safawi di Parsi, Mughal di India dan Uthmaniah di Turki. Dan seterusnya cebisan-cebisan Dakwah Islam itu masih dapat kita hidu sehingga hari ini. Syukur!

Dakwah terus tersebar jika ada yang menyebarkannya. Islam terus terpahat dihati manusia jika ada yang memahatkannya. Hari ini, siapakah yang perlu memikul tanggungjawab ini untuk menyebarkan dan memahatkan Islam dalam Hati manusia? Bayangkan sahaja jika tiada pengorbanan dan perjuangan mereka yang terdahulu, adakah kita dapat mengecapi Nikmat Islam? Allahu A’lam.

Langit itu kadangkalanya cerah, kekadang gelap, mendung, begitu juga dengan kehidupan, adakalanya jatuh, dan bangun kembali. Begitu juga aku, aku terlalu mahu meneruskan perjuangan Rasulullah, perjuangan Sahabat-Sahabat dan mereka yang terdahulu dalam menyebarkan Islam, dalam menabur Dakwah Islam di muka bumi Allah. Dan aku harus mempunyai kefahaman untuk saling mengingatkan, saling memberikan. Bantulah aku Ya Allah…

Aku sedang belajar. Dan terus selamanya masih belajar. Bantulah aku Ya Allah!

UIA, Gombak

3.13PM/22mac10/7RabiulAwal1431H

Sebenar-Benar Cinta

Wardah Sufi [Part 4]

***

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan ALLAH melalui kehidupan Rasul-NYA.

Pagi itu, walaupun Langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap…

Pagi itu… Rasulullah dengan suara terbatas memberikan khutbah…

“Wahai Umatku .. kita semua ada dalam kekuasaan ALLAH dan cinta kasih-NYA. Maka taati dan bertaqwalah kepada-NYA. Ku wariskan dua perkara pada kalian, AL-Quran dan Sunnahku. Barangsiapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintai aku, dan kelak orang-orang yang mencintaiku akan masuk syurga bersama-sama aku…”

Khutbah singkat itu di akhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap seluruh sahabatnya satu persatu. Seramai 124 ribu orang sahabat yang sama bilangannya dengan bilangan Nabi dan Rasul telah berjaya dikumpulkan dengan izin ALLAH pada Hajjatul Wada’.

“Allah sudah menawarkan kepada seorang hamba-NYA bagi memilih hidup bahagia di sisi-NYA.”

Abu bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca. Menangis teresak-esak hingga air mata membasahi janggutnya.

Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya.

Usman menghela nafas panjang.

Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam.

Isyarat itu telah datang dan saatnya sudah tiba …

“…Pada hari ini Aku sudah sempurnakan bagi Kamu agama kamu dan Aku sudah melengkapkan nikmat-KU atas kamu, dan Aku redha bagi kamu bahawa Islam itu agamamu…” AL-Maidah : 3

“Rasulullah akan pergi meninggalkan kita semua…”

Keluh hati semua sahabat kala itu…

Manusia yang tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia…

“Ada seorang hamba yang diberi dua pilihan oleh ALLAH, apakah dia mahu dikurniakan perhiasan dunia menurut kemahuannya, ataupun ingin mendapatkan apa yang ada di sisi ALLAH. Dia memilih apa yang ada di sisi ALLAH…”

Abu Bakar menangis apabila mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W itu lalu berkata.

“Wahai Rasulullah, kami sanggup menebus tuan dengan ayah dan ibu kami.”

Tanda-tanda itu semakin kuat…

Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Di saat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu…

Matahari kian meninggi, tetapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang didalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-Tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam.

“Bolehkah saya masuk?” tanyanya.

Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk.

“Maaflah, ayahku sedang demam.” Kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup daun pintu.

Kemudian Fatimah kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Fatimah.

“siapakah itu wahai anakku?”

“tak tahulah wahai ayahku, orang sepertinya itu baru sekali ini anakanda melihatnya.” Tutur Fatimah lembut.

Lalu Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

“Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah Malakul Maut.” Kata Rasulullah.

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.

Malaikat maut datang menghampiri, tetapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap diatas langit dunia untuk menyambut ruh kekasih ALLAH dan Penghulu dunia ini.

“Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan ALLAH?” tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah.

“Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu.” Kata Jibril.

Tetapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan.

“Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi.

“Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?”

“Jangan Khawatir wahai Rasul ALLAH. Aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku : “kuharamkan syurga bagi siapa sahaja kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya.” Kata Jibril.

Detik-Detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas.

Perlahan Ruh Rasulullah ditarik. Kelihatan seluruh tubuh Rasululah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

“Jibril, betapa sakitnya Sakaratul Maut ini.” Perlahan Rasulullah Mengaduh.

Fatimah memejamkan mata, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam, dan Jibril memalingkan muka.

“Jijikkah kau melihatku, hingga kau memalingkan wajahmu Jibril?” tanya rasulullah kepada Malaikat pengantar wahyu itu.

“siapakah yang sanggup, melihat Kekasih ALLAH direnggut ajal.” Kata Jibril.

Sebentar kemudian kedengaran Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

“Ya ALLAH, Dahsyatnya nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.”

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu.

Ali segera mendekatkan telinganya.

“Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum.”

[Peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.]

Di luar pintu tangis mulai kedengaran bersahutan. Sahabat saling berpelukan.

Fatimah menutupkan tangan di wajahnya. Dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

“Ummati … Ummati … Ummati …”

Dan Berakhirlah kehidupan manusia mulia yang memberi sinaran itu.

“Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa Barik wa sallim alaih.”

***

Wardah menarik nafasnya dalam-dalam. Kerna tahu, perjuangan Rasulullah perlu diteruskan. Perjuangan yang  Masih berbaki.

Air matanya di seka.

‘aku merinduimu wahai Kekasih ALLAH…’

***

“Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, maka ALLAH akan berselawat kepada nya sebanyak Sepuluh kali” Hadith Soheh – Bukhari.

Bersambung…